Menara Salib Suci Keuskupan Keningau
Oleh Juanis Marcus
Oct 4 2022
KENINGAU – Uskup Cornelius Piong menekankan bahawa salib dan kehidupan seorang Kristian tidak boleh dipisahkan. “Hal ini kerana, Yesus berfirman bahawa seseorang yang ingin mengikutiNya, harus menyangkal diri dan memikul salibnya setiap hari,” tegas prelatus dalam homilinya sempena Misa Kudus penutup Ziarah Salib Suci di Pusat Ziarah Keluarga, Nulu Sosopon.
“Kurang penghayatan tentang makna salib menyebabkan kita memandang salib itu sebagai satu perkara yang biasa sahaja,” sambung Uskup. Uskup menjelaskan meskipun dahulu salib membawa makna penghinaan tetapi Yesus tetap memlilih cara tersebut untuk menunjukkan cintakasihNya kepada kita.
Prelatus berkata lagi, “Terdapat juga kesaksian-kesaksian peribadi di dalam keuskupan kita iaitu apabila berdoa di hadapan salib dengan penuh penghayatan, ada umat yang mendapat kesembuhan.”
Sr Patricia Limun, Pengerusi Tim Ziarah Salib Suci, berterima kasih kepada tim ziarah atas pelayanan mereka dan kepada penziarah yang datang memberi dorongan walaupun ziarah dibuka hanya beberapa hari.
Ziarah Salib Suci diadakan di Menara Salib Suci, Nulu Sosopon pada 12-14 September lalu. Hampir 250 penziarah datang memberi dorongan kepada ziarah tersebut.
Yang Mulia Bapa Uskup memberikan homili semasa Misa Kudus Penutup Ziarah Salib Suci Keuskupan Keningau