Aug 24 2021
KOTA KINABALU – Sabah akhirnya melepasi angka 30 peratus penduduk dewasa telah divaksin.
Semalam 30.1 peratus penduduk dewasa di Sabah menerima vaksin lengkap dua dos dan 52.4 peratus lagi memperolehi satu dos vaksin.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, hari ini Sabah mencatatkan 2,474 kes positif baharu Covid-19 berbanding 2,638 kes semalam. Tiada kluster baharu dilaporkan hari ini.
Beliau berkata, Kota Kinabalu kekal mencatatkan kes tertinggi dengan 671 kes, diikuti dengan 204 kes di Penampang, Tawau 196 kes, Sandakan 185 kes dan Papar 181 kes.
Menurutnya, daripada 2,474 kes yg didaftar hari ini, 311 kes atau 12.6 peratus adalah kes daftar lewat melebihi lima hari, 254 kes tertunggak antara empat hingga lima hari dan 1,102 kes daftar lewat antara dua hingga tiga hari.
“Hari ini, sebanyak 1,609 atau 65 peratus kes dikesan melalui saringan kontak rapat, 557 kes daripada saringan bergejala dan 140 kes daripada saringan kluster.
“Pesakit daripada kategori dua kekal mencatatkan kes tertinggi dengan 1,587 orang pesakit manakala, 823 kes dalam kategori satu, 10 orang dalam kategori tiga dan lapan orang dalam kategori lima,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – Borneo Today