Oleh Evelyn Justin
PACE BENE, Papar – Retret tahunan keluarga besar The Secular Franciscan Order (Latin: Ordo Franciscanus Saecularis; OFS) telah diadakan pada 2-4 Ogos bertemakan “Mengasihi dan Melayani” (To Love and To Serve) di Pace Bene, Papar.
Friar Cruzender Alex, OFM, selaku pembimbing retret dibantu oleh Sr Dariah Ajap, FSIC dan komiti penganjur bekerjasama dalam melancarkan perjalanan retret tersebut.
Retret tahunan itu dihadiri oleh perwakilan dari pelbagai paroki, walaupun dengan latar belakang yang berbeza, namun semangat dan sukacita jelas terpancar di wajah mereka. Ditambah lagi dengan penyertaan daripada seorang warga emas yang bertongkat dari kontinjen St Mary, Sandakan, telah menginspirasikan para ahli OFS untuk terus menghidupi persaudaraan dalam kalangan keluarga Fransiskan mahupun dengan alam semesta ciptaan Tuhan.
Berdasarkan tema tahunan, tiga soalan menjadi renungan peribadi para ahli; bagaimana saya dapat mengamalkan kerendahan hati dalam interaksi harian saya? Apakah tindakan kecil kasih dan pelayanan yang dapat saya masukkan dalam rutin harian saya? Bagaimana saya dapat lebih mendukung dan mengasihi saudara-saudari saya dalam Kristus?
Kemuncak kepada retret ini adalah acara Fransiskan Joy pada malam Sabtu di mana setiap kontinjen membuat persembahan pentas mengikut kreativiti masing-masing.
Suasana dewan menjadi hening seketika apabila tayangan video semasa lawatan kepada mangsa banjir di daerah Penampang dan aktiviti menghantar sumbangan makanan ke St Theresa of Infant Jesus, Kg Kolopis dimainkan.
Acara kemudian diteruskan dengan persembahan tarian mongigol dari etnik Rungus oleh kontinjen Holy Family Church, Telipok. Tidak ketinggalan, Friar Cruz juga telah membuat persembahan nyanyian duet bersama ahli OFS dari kontinjen Tuaran. Persembahan mereka mendapat tepukan gemuruh daripada ahli OFS yang pertama kali mendengar kelunakan suara Friar Cruz.
Retret diakhiri dengan sesi soal jawab dan ucapan daripada Marina Anjuman, National Minister OFS.