Sesi Adorasi sebelum retret bermula
Oleh Clly Gulimit
Aug 15 2023
TELUPID – Pada 15 Julai 2023 yang lalu, seramai 96 orang yang terdiri daripada pemimpin ibadat sabda, pelayan komuni tak lazim dan umat awam telah menyertai retret pemimpin ibadat sabda dan pelayan komuni tak lazim yang dianjur bersama oleh Komiti Katekis dan Komiti Liturgi.
Retret sehari itu merupakan kesinambungan daripada dua fasa rekoleksi yang telah dilaksanakan sebelum ini. Retret pada kali ini sedikit berbeza dimana sebelum sesi bermula para peserta diajak untuk merasai kehadiran Tuhan serta membuat renungan peribadi dalam Adorasi Sakramen Mahakudus.
Selesai saat teduh, paderi paroki Fr Christopher Ireneus meneruskan sesi pertama iaitu imbasan rekoleksi pertama dan kedua yang telah dijalankan sebelum ini. Paderi menjelaskan bahawa sebagai pemimpin ibadat dan pelayan komuni perlu mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam tatacara pengendalian ibadat dan komuni kudus.
Justeru, retret ini adalah salah satu proses pembentukan yang perlu dilalui oleh semua pemimpin ibadat dan pelayan komuni. Selain daripada membantu paderi memberikan komuni kudus kepada umat semasa perayaan Misa Kudus, peranan utama pelayan komuni adalah memberi komuni kepada orang-orang tua, sakit dan yang tidak berupaya untuk hadir ke gereja.
Perkara ini ditegaskan oleh paderi kerana apabila pelayan komuni membawa komuni kepada mereka yang memerlukan, ia perlu dilakukan dengan berhati-hati dan pengendalian yang teliti.
Sesi kedua yang diteruskan pada sebelah petang adalah berkaitan dengan tatacara memimpin ibadat. Paderi memberikan penerangan sambil membuat sedikit demonstrasi bagaimana memimpin ibadat dengan merujuk kepada buku panduan yang digunakan oleh Paroki St Martin, Telupid. Penerangan yang sangat jelas memberikan kefahaman yang lebih mendalam kepada para peserta terutamanya pemimpin ibadat dan pelayan komuni.
Selepas itu, sesi terakhir diteruskan dimana paderi mengajak semua peserta untuk membuat renungan peribadi mengenai pelayanan. Apabila kita mengatakan “YA” untuk melayani, kita akan menghadapi realiti bahawa pelayanan itu tidak semudah yang disangka. Pelbagai cabaran, kesakitan dan penolakan yang perlu dihadapi. Namun, semua ini dapat dilalui jika semua pihak saling memberikan sokongan dan “BERJALAN BERSAMA”.
Retret diakhiri dengan perayaan Misa Kudus penutupan yang dipimpin oleh Fr Christopher Ireneus. Paderi dalam homilinya mengaitkan kisah dalam Injil pada hari tersebut dengan pelayanan dan berharap agar semua dapat menjadi seperti benih yang ditabur di tanah yang baik dan tumbuh serta menghasilkan buah. – Dospo
Para peserta bergambar bersama Fr Christopher Ireneus selepas Misa Kudus penutupan