Pemberi sesi (Jika George, Lius Yonolon dan Katekis Victor Ekang ) bergambar dengan para peserta yang hadir
Oleh Melissa Floly
Apr 11 2023
KENINGAU – Komiti Inti Pembaharuan Karismatik Katolik (KiPKK) KSFX mengadakan retret khusus untuk para pelayan KiPKK yang disertai seramai 165 orang dari seluruh paroki. Retret ini bermula dari 10-11 Mac 2023 bertempat di St Joseph Minawo, Keningau.
Retret yang dijalankan satu setengah hari itu, menyediakan pengisian yang bertujuan untuk menyemarakkan kembali semangat pelayanan para tim KiPKK setelah pandemik yang kian berlalu. Hari pertama retret, para peserta bersama-sama dalam doa penyembahan cara karismatik yang dikendalikan oleh Jika George selaku Pengerusi KiPKK Paroki KSFX.
Dalam sesi ini, peserta dibawa memuji dan menyembah dengan lagu dan muzik selama sejam. “Saya merasakan damai sukacita, dan ada kerinduan yang begitu dalam untuk memuji Tuhan,” kata salah seorang dari peserta retret itu semasa mengikuti sesi ini.
Pada hari kedua, Jika George berkongsi kepada para peserta tentang menanggapi masalah dalam pelayanan. Dia menyimpulkan bahawa kita perlu mengarahkan kembali fokus terhadap pertumbuhan iman dan selalu mengandalkan Roh Kudus dalam kehidupan kita sehari-hari.
Seterusnya, Katekis Victor Ekang turut membawa para peserta mengobarkan kembali urapan Roh Kudus dengan menghayati dan meresapi Firman Tuhan setiap hari serta mengekspresikan iman melalui tindakan kasih kepada sesama.
Akhir sekali, Lius Yonolon berkongsi tentang suka duka daripada awal pelayanannya sehingga ke hari ini. Dia menyeru semua tim KiPKK untuk terus bertahan dan mengobarkan urapan Roh kudus dalam pelayanan kerana tujuan utama bagi pelayanan adalah membawa kasih Kristus kepada sesama.
Beberapa peserta retret itu bersyukur dan lega untuk retret hari itu. “Saya rasa beban yang saya pikul selama ini lebih ringan,” begitulah luahan hati daripada seorang lagi peserta retret itu.
Maini, peserta retret itu juga berkongsi tentang kuasa pengampunan yang dialaminya, memberikan dia sukacita dan semangat baru untuk kembali melayani. Retret Pelayan KiPKK ini diakhiri dengan lagu kesyukuran dan makan bersama.