Para peserta retret
Oleh Douglas Naun
Sep 23 2022
KOTA KINABALU – Ahli-ahli Kerasulan Kerahiman Ilahi bahagian Bahasa Malaysia di Paroki Katedral Hati Kudus mengadakan retret yang bertemakan: ‘ Berbicaralah kepada dunia tentang kerahimanKu’.
Retret ini adalah yang pertama kali diadakan dalam kalender tahun 2022, berlangsung di Nuluhon Garden Retreat House, Jalan Kionsom Inanam pada 16-17 Sept.
Retret yang disertai seramai 32 orang ini dimulakan dengan Misa Kudus yang dipimpin oleh Fr Nicholas Stephen.
Satu sesi yang memberi peneguhan iman dan menyentuh hati para peserta ialah sesi ‘Berjaga bersama Yesus’ di mana semua peserta wajib terlibat. Dalam sesi ini, peserta telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan akan bergilir untuk beradorasi di hadapan imej Kerahiman Ilahi selama sejam iaitu dari jam 12.00 tengah malam sehingga jam 6.00 pagi.
Menurut beberapa peserta, sesi ini sungguh memberikan pengalaman iman yang indah dan menyentuh hati, ada kedamaian di dalam hati apabila berdoa di tengah-tengah malam yang sangat sunyi.
Dalam retret, Fr Nicholas Stephen bukan saja memberikan inspirasi iman malah memberikan pencerahan hala-tuju yang jelas sebagai ‘murid Yesus’ dalam mengaktifkan kaedah penyebar luasan tentang Kerahiman Ilahi.
“Menjadi saksi Kristus dengan ikhlas dalam menerapkan cinta kasih dan penuh belas kasihan dalam kehidupan seharian (kesaksian hidup) disertakan dengan amalan tekun dalam doa untuk keteguhan peribadi dan untuk sesama tanpa pilih kasih iaitu tidak penting diri dalam berdoa. Erti kata lain, berdoa untuk peribadi, untuk orang lain tanpa mengira situasi suka dan duka adalah antara sikap utama yang harus ada dalam pelayanan”, tegas Fr Nick.
Menginjil dengan menggunakan media massa seperti WhatsApp, Face Book, Tik Tok dan lain-lain juga antara kaedah yang bijak kerana jika kita tidak menggunakan media sebagai saluran untuk pengijilan dan menyebarkan khabar gembira, syaitan akan menggunakannya untuk pengaruh jahat, pesan Fr Nick.
Program ini memberikan kesegaran iman dan membangkitkan semangat pelayanan kepada para peserta yang telah menyertai retret tersebut.