66 orang dari tiga kumpulan bahasa iaitu Bahasa Malaysia, English dan Tamil bergambar bersama Fr Adrian Francis dan Rev Diakon Offic Joseph
Oleh Chalcy
Feb 21 2023
KLUANG – Pelayanan CHARIS Keuskupan Melaka-Johor telah menganjurkan retret untuk semua pemimpin dan ahli-ahli CHARIS pada Febuari 5 lalu.
Seramai 66 orang dari tiga kumpulan bahasa iaitu Bahasa Malaysia, English dan Tamil menyertai retret selama dua hari satu malam di Oasis Canossian Centre Kluang.
Program ini telah dirancang sejak tahun 2020 tetapi tertangguh akibat pandemik COVID-19.
Matlamat retret ini adalah untuk mengingatkan kembali para pemimpin dan ahli CHARIS tentang komitmen mereka pada kehidupan dan pelayanan karismatik, untuk membaharui kembali hubungan peribadi dengan Tuhan dan mengalami pemberdayaan kuasa Roh Kudus yang bekerja.
Fr Adrian Francis dan Rev Diakon Offic Joseph telah dijemput bagi menyampaikan sesi.
Fr Adrian dalam ceramahnya menyeru setiap umat yang telah dibaptis untuk menghidupkan Roh Kudus yang ada dalam diri mereka.
Kemuncak retret ialah pengutusan para pemimpin dan ahli CHARIS semasa Misa Kudus.
Setiap peserta diberikan lilin dan garam, sesuai dengan tema Injil Hari Minggu Biasa Kelima, “Jadilah terang dan garam dunia”.
Fr Adrian dalam homilinya mengajak ahli-ahli CHARIS agar menjadi terang yang memberi cahaya kepada orang lain dan menjadi garam yang memberi rasa khususnya para mereka yang merasa tawar dalam pelayanan mahupun kehidupan. – Herald Malaysia