Saudara-saudari, setiap tahun kita umat mengingati Kesengsaraan, Kematian dan Kebangkitan Tuhan Yesus.
Untuk apa sebenarnya? Apakah semua peristiwa itu untuk kenangan sahaja, datang dan pergi, tidak membawa apa-apa kesan kepada diri kita, keluarga dan komuniti?
Mari kita sedari bahawa Yesus yang diutus oleh Tuhan Bapa untuk menyelamatkan kita dari kekuasaan dosa telah melakukannya dengan setia, dengan kerendahan hati sehingga Dia dapat mengatakan, “Selesailah sudah.” (Yoh.19:30).
Namun penyelamatan Tuhan adalah berterusan dan kita murid-muridNya adalah saluran untuk meneruskan penyelamatanNya melalui kasih, keadilan dan damai.
Jika kita perhatikan apa yang sedang berlaku di dunia yang serba maju ini manusia masih hidup dalam kuasa kegelapan dan kebohongan. Sikap benci, pelampau, menggunakan nama Tuhan untuk menipu bahkan membunuh sesama manusia.
Sikap tertutup kepada kebenaran,cemburu, hanya mementingkan diri sendiri, gila kuasa dan haloba sedang menguasai manusia sehingga hari ini.
Ramai manusia belum mengenal Kebenaran. Kita murid-murid Yesus adalah saksi Kebenaran yang ingin ditawarkan Yesus kepada umat manusia (Yoh.18:37).
Oleh itu jangan kita sia-siakan masa Trihari Paska ini.
Uskup Cornelius Piong
Keuskupan Keningau