Peserta mengabadikan gambar kenangan bersama Fr Maxmillianno Hontor (Barisan depan tengah, baju biru) pada 8 Mar 2024
Oleh Euseclara Suah (Foto: Jamlee Ramle)
Mar 20 2024
KOTA BELUD – Rekoleksi Tim Pelayanan Belia Paroki, Zon dan Chapel anjuran Tim Pelayanan Belia Paroki (TPBP) St Edmund diadakan di Losok Kadamaian Chalet, Kota Belud pada 8-9 Mac lalu.
Bertemakan “…hendaknya terangmu bercahaya…” dipetik dari Injil Mat 5:16, program ini bertujuan untuk melahiran pemimpin yang dapat berjalan bersama, melayani dan bertumbuh bersama, mewujudkan keselarasan sistem pengurusan serta menumbuhkan kerohanian yang berterusan dalam diri seorang belia dan pemimpin.
Belia merupakan tulang belakang dan juga pelapis gereja pada masa hadapan. Oleh itu, pelayanan belia penting bagi meneruskan misi penyelamatan Tuhan.
TPBP berharap agar rekoleksi itu dapat melahirkan pemimpin belia yang sedia untuk melayani, berjalan bersama, bertumbuh bersama dalam Kristus serta dapat menyegarkan dan menyedarkan para pemimpin belia mengenai peranan mereka sebagai Tim pelayanan belia.
Program bermula dengan Misa Kudus pembukaan diikuti dengan lagu pujian dan peyembahan serta bersuai mesra di antara belia yang hadir.
Seterusnya, pada hari kedua diawali dengan doa pagi, persiapan diri dan sarapan pagi diikuti dengan sesi-sesi penting bagi seorang pemimpin belia dan Tim pelayanan belia.
Sesi pertama ialah Servant Leadership disampaikan oleh Fr Maxmillianno Hontor, membantu belia memahami erti pelayanan dalam gereja, mengikuti teladan Yesus sebagai pelayan dan bukan dilayani.
Fr Max berpesan kepada para belia agar mereka melakukan yang terbaik untuk mempersembahkan diri kepada Tuhan sebagai orang yang diperkenankan dan menyampaikan kebenaran dengan yakin serta berani.
Seterusnya, sesi kedua iaitu Secretariat oleh Dennis Patrick membantu belia untuk mempelajari tugas-tugas sebagai setiausaha dan memahami cara membuat pemfailan yang betul agar mereka mempunyai dokumentasi setiap aktiviti yang mereka lakukan di Zon atau Chapel masing-masing.
Bagi sesi ketiga Financial Management juga disampaikan oleh Dennis mengajar para belia tentang pengurusan kewangan yang efisien dan betul.
Aktiviti Team building dijalankan selepas sesi dengan beberapa permainan yang menarik.
Program diakhiri dengan perayaan Misa Kudus Senja di Chapel St William, Purak Ogis. Pengutusan TPBP, TPBZ dan TPBC telah diadakan semasa Misa Kudus Senja.
Berikut adalah sedikit perkongsian daripada belia yang mengikuti rekoleksi:
Rekoleksi TPBP, TPBZ dan TPBC telah memberikan kekuatan rohani kepada saya. Melayani sebagai pemimpin dalam kalangan Orang Muda Katolik mempunyai pelbagai sukacita dan cabaran. Maka dalam rekoleksi dua hari satu malam itu, saya dapat mendengar sesi perkongsian dari para pemimpin belia setiap chapel tentang cabaran dalam belia dan cara mengatasi.
Selain itu, sesi pertama yang di sampaikan oleh Fr maxmiliano iaitu Servant Leadership. Saya masih ingat, Fr Max telah mengatakan kita hendaklah melayani seperti hamba dan wajah Kristus.
Di samping itu, saya juga memperoleh ilmu dan pengetahuan dalam sesi kedua iaitu Secretariat. Dalam sesi ini, penerangan tentang tugas dan ciri-ciri yang perlu ada pada seorang setiausaha.
Dalam sesi ketiga, tajuk sesi ialah Financial Management juga memberikan saya pengetahuan tentang cara mengurus kewangan dalam sebuah organisasi di gereja.
Kesimpulannya, saya sangat gembira dan bersyukur kerana dapat mengikuti rekoleksi ini kerana bukan sahaja saya dapat bertemu dengan sahabat-sahabat dalam Kristus tetapi saya juga diberi kekuatan rohani. Saya juga bersyukur kerana saya sedari untuk menjadi cahaya Kristus, saya perlu setia dan berkomitmen tinggi dalam menjalani pelayanan. Amen – Herbert Hervey Jaiti, St Dominic, Tambulion, Ahli TPBP
Hai, saya Joeyvenley, merupakan ahli TPBC dalam chapel. Melalui rekoleksi ini, apa yang saya dapat dalam mengikuti rekoleksi ini ialah saya dapat ilmu baharu untuk tugas dalam pelayanan gereja. Saya dapat belajar bagaimana pengurusan kewangan dilaksanakan dalam gerejaa. Selain itu, selepas saya mengikuti rekoleksi ini, saya lebih yakin dalam melakukan pelayanan dalam gerejaa. Kami telah berbincang berkaitan masalah yang sering di hadapi oleh setiap chapel di zon masing-masing dan berkongsi langkah penyelesaian masalah tersebut. Saya berharap semoga akan lebih banyak ahli baharu akan lebih aktif dalam pelayanan gereja. – Joeyvenley Mascel St Kesmas, Ahli TPBC St Raphael, Pompod