Para peserta bergambar bersama Fr Sylvester Wong selepas Misa Kudus
Oleh SOCCOM GSM
Sep 12 2023
MANGGATAL – Pada 31 Ogos 2023 yang lalu, seramai 104 peserta daripada pusat dan outstasi termasuk dua orang pengiring daripada outstasi menyertai rekoleksi yang dianjurkan oleh Komiti Liturgi Paroki Good Shepherd Manggatal. Para peserta terdiri daripada pelajar PMG dan belia yang berumur 10 hingga 33 tahun.
“Mari Ikutlah Aku, dan kamu akan Ku Jadikan Penjala Manusia” (Matius 4:19) adalah tema rekoleksi yang berlangsung selama setengah hari itu. Manakala objektif rekoleksi ini dijalankan adalah untuk meneguhkan iman dalam pelayanan dan menjadi saksi Kristus kepada sesama.
Rekoleksi itu bermula pada jam 8.30 pagi untuk pendaftaran dan disusuli dengan pentakhtaan Alkitab. Selepas itu sesi pertama, bertajuk pelayanan sebagai seorang pelayan altar. Saya datang melayaniMu Tuhan dengan penuh sukacita disampaikan oleh Fr Sylvester Wong.
Sesi kedua pula diteruskan dengan pengenalan peralatan, kelengkapan Liturgi dan seterusnya praktikal peserta bersama Fr Sylvester. Sesi tamat pada jam 12.30 tenghari dan diakhiri dengan Misa Kudus serta pengutusan kepada para peserta oleh Fr Sylvester.
Dalam homilinya, Fr Sylvester mengingatkan para peserta agar sentiasa merendahkan hati, bukan untuk mencari populariti dalam pelayanan sebagai pelayan altar serta mengajak semua peserta untuk pergi dan bersaksi bagi Tuhan.