Oleh Reynold Thomas
Oct 17 2022
TELUPID – Selepas hampir tiga tahun negara dilanda pandemik COVID-19, perlahan-lahan aktiviti kerohanian kembali aktif di Paroki St Martin Telupid. Salah satu aktiviti berkenaan ialah rekoleksi Komuniti Kristian Dasar (KKD) yang diadakan pada 3 Sept 2022.
Fr Christopher Ireneus, paderi paroki, bertanya kepada setiap perwakilan mengenai isu-isu yang menjadi batu sandungan kepada pergerakkan KKD di kawasan masing-masing dan rata-rata jawaban setelah dirumus, bahawa isu dan cabaran adalah berkait rapat dengan hidup dan fungsi keluarga di sesebuah KKD, nilai agama yang semakin terumbang-ambing, dan juga pemahaman terhadap iman Katolik yang semakin berkurangan, maka tema yang dipilih untuk rekoleksi tersebut ialah ‘Nilai Keluarga, Agama, dan Iman’.
Berdasarkan pra-pendaftaran pantas dan singkat yang dilaksanakan melalui semua KKD di seluruh paroki bermula 21 Ogos sehingga 28 Ogos 2022, jumlah peserta berdaftar diperolehi adalah 333 orang daripada empat zon iaitu, Zon Santo Nicholas seramai 34 orang, Zon Santa Susanna seramai 107 orang, Zon Santo Thomas seramai 38 orang, Zon Padre Pio seramai 37 orang, dan Zon Santo Roderick seramai 117 orang.
Pada hari pelaksanaan rekoleksi, kehadiran peserta telah mencecah 400 orang yang mana di luar jangkaan tim pelaksana atau penganjur. Fr Christopher turut menzahirkan rasa terkejut beliau apabila kehadiran umat begitu memberangsangkan sedangkan beliau telah menjangkakan hanya sekitar 100 orang sahaja yang akan hadir. Oleh yang demikian, penyampaian terhadap isu-isu yang perlu disampaikan dalam rekoleksi ini telah menjadi lebih efektif dan efisyen memandangkan lebih ramai yang dapat mendengar sendiri.
Perkongsian yang disampaikan oleh Fr Stephen Esguerra, paderi pembantu, menyentuh lebih banyak mengenai peranan keluarga dalam pembentukkan KKD. Beliau menjelaskan bahawa KKD terbentuk daripada perkumpulan keluarga-keluarga dalam satu komuniti setempat. Keluarga-keluarga ini adalah keluarga yang beriman, saling menyokong pembangunan dan pembentukkan iman mereka bermula dari rumah. Rentetan pembangunan dalam keluarga itu, maka perlulah dikongsikan kepada lebih ramai keluarga lagi, dan seterusnya, terjadilah sebuah perkumpulan keluarga-keluarga yang saling berkongsi mengenai bagaimana mereka dapat bertumbuh dalam iman.
Perkongsian Fr Stephen diakhiri dengan nasihat dan cadangan kepada semua umat untuk dapat terus mengukuhkan katekisis dalam keluarga masing-masing, dan tetap terus bertumbuh dalam persekutuan di KKD setempat.
Isu seterusnya ialah mengenai agama dan iman, dan isu ini telah dikongsikan oleh Fr Christopher dalam satu perkongsian yang agak ilmiah, namun dipenuhi dengan maklumat-maklumat yang diperlukan oleh umat.
Beliau menegaskan bahawa iman Katolik itu adalah satu iman yang sempurna, dan setiap individu haruslah berasa bangga kerana menjadi seorang Katolik. Apabila iman ini dicemarkan dengan sikap yang liberal terhadap perkembangan agama, maka tiada jalan yang mudah untuk kembali kepada Katolik.
“Persefahaman dan toleransi adalah amat penting, dan sememangnya dititikberatkan oleh gereja Katolik, bagaimanapun, adalah menjadi tanggungjawab setiap individu yang dibaptis sebagai Katolik untuk menegakkan kebenaran dan sekaligus menjaga iman masing-masing”, katanya.
Selain itu, beliau juga menegaskan bahawa, menjadi tanggungjawab setiap umat dalam KKD untuk dapat terus membantu dalam kalangan mereka agar agama dan iman mereka tetap dijaga serta dikukuhkan sampai bila-bila.
Rekoleksi ini diakhiri dengan Misa Kudus, ucapan daripada Pengerusi Komiti KKD Induk Paroki, Pianus bin Laniu dan amanat daripada paderi paroki kepada semua umat. Sesi bergambar diadakan sebaik sahaja selesai misa kudus, dan semua peserta rekoleksi makan tengah hari bersama dengan para paderi.