Salah satu kumpulan kecil giat berbincang
Oleh Babylyn Baco
Apr 20 2022
SANDAKAN – Seramai 41 Ahli Kerasulan Wanita Katolik (KWK), Paroki Katedral St Mary, Sandakan menyertai program Rekoleksi Musim Prapaska 2022 anjuran Komiti KWK, pada 26 Mac 2022 bertempat di Dewan Gereja St Mark, Batu 12, Sandakan.
Program dimulakan dengan Upacara Pentakhtaan Alkitab oleh Sr Regina Kimung, FSIC selaku Ahli Kehormat KWK. Sr Regina di dalam ucapan alu-aluannya menyatakan kegembiraannya kerana dapat bersama lagi setelah dua tahun kerasulan itu tidak mengadakan sebarang aktiviti disebabkan Covid-19. Beliau juga berharap agar ahli-ahli Kerasulan Wanita dapat terus berjalan bersama dalam pelayanan di gereja.
Ketua Penyelaras KWK Paroki, Puan Cecelia D’ Souza pula mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli baharu juga yang lama kerana sudi meluangkan masa untuk hadir ke rekoleksi tersebut.
Beliau memperkenalkan diri dan menceritakan pengalaman dalam pelayanan terutamanya di KWK dan seterusnya mengajak semua memperkenalkan diri masing-masing serta berkongsi pengalaman mereka dalam pelayanan. Para peserta kelihatan begitu bersemangat dan teruja kerana rindu untuk kebersamaan dan menjalani program secara bersemuka. Ada juga antara ahli yang sudah lebih dari 40 tahun dalam pelayanan KWK turut mengongsikan pengalaman mereka.
Sesi utama rekoleksi bertemakan ‘Menabur Benih Kebaikan’ disampaikan oleh Sr Regina. Sr Regina menjelaskan maksud tema tersebut iaitu “Jangan kita jemu-jemu berbuat baik, kerana apabila sudah datang waktunya, kita akan menuai, jika kita tidak menjadi lemah.” (Gal 6:9). “Kita adalah kaki dan tangan Tuhan dalam menabur benih kebaikan, berkongsi antara sesama dalam melayani di ladang Tuhan”.
Para peserta dalam Rekoleksi
Setelah mendengar sesi renungan tersebut, peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil dan membincangkan soalan mengikuti tema yang diberikan dalam aspek KWK itu sendiri. Dua soalan yang dibincangkan adalah:
1) Apa yang harus saya lakukan dalam pelayanan untuk menabur benih dalam KWK?
2) Apakah aspek hidup yang harus saya perbaharui?
Selesai perbincangan, setiap kumpulan membuat pembentangan hasil perkongsian mereka tentang soalan yang diberikan. Rata-rata memberikan perkongsian yang positif walaupun ada suka dan duka dalam kehidupan. Rumusan untuk semua perkongsian adalah (a) setia melayani di ladang Tuhan dalam apa juga aktiviti gereja, (b) Sentiasa berdoa dan mendoakan sesama kerana doa adalah kunci segala apa yang kita lakukan dan sentiasa bersyukur, (c) Utamakan pelayanan terhadap keluarga sebelum membuat sesuatu pekerjaan atau pelayanan lain dan (d) Keteguhan iman serta kerendahan hati.
Sebagai sesi rumusan dan kesimpulan keseluruhan program tesebut, Puan Cecelia telah menerangkan tentang perkara-perkara yang termaktub dalam Garis Panduan KWK. Para hadirin disoal sebagai renungan peribadi, “Mengapakah saya berada di sini dan masih di sini?”
Program rekoleksi diakhiri dengan doa penutup oleh Sr Regina, disusuli dengan makan tengahari.