
Oleh Sherley Milly, St Catherine, Inanam
Ini bukan pertama kali saya mengikuti ziarah, sebelum ini saya pernah menyertai ziarah semasa Tahun Belas Kasih yang lalu. Saya rasa sangat teruja dan bersyukur dapat mengikuti Pilgrim Walk ini.
Sebenarnya saya tiada rancangan pun mahu mengikuti ziarah ini. Masa saya mula-mula nampak gambar iklan di laman Facebook Sacred Heart Cathedral (SHC) tentang ziarah ini yang memang khas untuk umat SHC, saya memang memutuskan tidak mau ikut, sebab boleh ikut juga selepas ini. Tapi seminggu sebelum tarikh ziarah, tiba-tiba saya rasa mahu ikut. Macam Tuhan panggil saya untuk menyertai ziarah ini sebab, saya tidak dapat mengikuti Misa Pembukaan Tahun Jubli dan ceramah tentang tahun Jubli sebelum ini. Oleh itu saya cari balik gambar iklan tersebut dan mengajak adik saya untuk ikut bersama.
Ada beberapa pengalaman yang menyentuh hati saya, pertama adalah semasa perjalanan ziarah semasa berjalan menaiki bukit, saya melihat pelayan altar bersama Fr Terans Thadeus dengan jubah mereka. Fr Terans juga sedang membawa alkitab. Saya terpegun melihat semangat dan iman mereka yang sanggup berjubah sambil membawa alkitab, salib dan lilin, bersama penziarah yang lain yang mengikuti dari belakang. Perkongsian dari Fr Paul Lo yang mengatakan ‘Jubilee is a special way to meet Jesus’ dan bagi saya ayat ini sangat menyentuh saya. Saya nampak kasih Tuhan sepanjang Pilgrim Walk ini. Kebanyakan umat yang menyertai ziarah ini datang secara berkumpulan dan saya hanya berdua saja bersama adik saya. Pada awalnya, kami rasa malu semasa diminta untuk membuat kumpulan, tetapi kami dapat juga masuk dalam kumpulan dengan penziarah lain walaupun berlainan paroki. Saya ingat lagi salah satu penziarah mengatakan ‘beginilah Tuhan menemukan kita semua’ dan ayat yang Fr Paul kongsikan itu benar. Walaupun kami tidak mengenali antara satu sama lain, kami dapat bertemu dan berdoa rosari bersama sepanjang Pilgrim Walk. Pengalaman lain yang menyentuh saya adalah dalam perkongsian Fr Paul di mana dia mengatakan bahawa pada awalnya Pilgrim Walk itu hanya untuk umat SHC, tapi tidak sangka ramai umat dari pelbagai paroki turut menyertai ziarah itu. Begitu besar semangat dan iman umat Katolik yang mahu menyertai ziarah.
Oleh yang demikian, saya berharap agar dapat menyertai ziarah di empat paroki lain lagi dan di dalam setiap ziarah, saya mau terus bertumbuh di dalam iman saya. Saya percaya, saya akan terus melihat kasih Tuhan di dalam setiap ziarah yang saya akan ikuti serta saya berharap orang lain juga dapat melihat dan merasakan kasih Tuhan melalui ziarah ini.
Dapatkan naskah Catholic Sabah di paroki anda bagi versi Bahasa Inggeris.