Salah satu aktiviti dalam sesi persahabatan iaitu upacara pencucian kaki sebagai tanda kerendahan hati
Oleh Euseclara Suah
Mar 31 2023
KOTA BELUD – Belia St Raphael Pompod mengadakan Program Rejoice And Praise His Amazing Everlasting Love 2 (RAPHAEL2) pada 11-12 Mac lalu di Chapel St Raphael, Pompod.
Seramai 34 belia menyertai program dua hari itu dengan tema “Maria bangkit dan langsung pergi” (Luk 1:39).
Feliciti Cressa Ross, 19, Koordinator Program RAPHAEL 2 berkata bahawa program itu merupakan program pertama beliau sebagai coordinator. Dia berkongsi bagaimana dia menghadapi cabaran diri sendiri dengan bantuan serta sokongan daripada ahli keluarga dan belia senior dalam persiapan program tersebut.
Program itu bertujuan untuk memberi penyegaran iman dan semangat pelayanan kepada belia di chapel St Raphael, Pompod, memberi pendedahan dan membawa belia muda kepada pelayanan gereja sebagai pelapis belia masa hadapan.
Program dimulai dengan Pentakhtaan Alkitab diikuti dengan welcoming dan sesi pertama iaitu Katekesis tema “Maria bangkit dan langsung pergi” disampaikan oleh Jamlee Ramle, Timbalan Koordinator TPBP St Edmund Kota Belud.
Seterusnya, aktiviti berkumpulan membawa peserta untuk bekerjasama dalam melakukan aktiviti yang ditetapkan.
Para belia berdiam diri dan menernung ketika sesi Diam Bersama Yesus
Dalam sesi ‘Diam bersama Yesus’, peserta diminta untuk berdiam diri, berdoa dan merenung selama satu jam di dalam dan di luar chapel. Sesi ini menyentuh perasaan Koordinator program itu sendiri di mana ia sedar masa bersama Tuhan semakin kurang atas kesibukannya sebagai pelajar.
“Kesibukan saya sebagai pelajar menyebabkan saya kurang meluangkan masa bersama Tuhan dan sesi ini menyedarkan dan memberi pembaharuan iman kepada saya,” kata Feliciti.
Pada hari kedua, program tertumpu kepada sesi persahabatan di mana Katekesis disampaikan melalui lagu pujian dan penyembahan, persembahan lakonan, sesi perdamaian serta pencucian kaki sebagai tanda kerendahan hati, perdamaian dan persahabatan.
Menurut Koornidator, semasa program berlangsung peserta berkongsi bahawa program ini meneguhkan iman mereka dan menyedarkan mereka tentang tanggungjawab mereka sebagai seorang belia dalam pelayanan gereja.
Feliciti berharap belia generasi baharu yang aktif akan terus aktif dan bagi belia yang meninggalkan pelayanan akan kembali aktif.
“Saya harap belia St Raphael Pompod yang aktif sekarang akan terus aktif dalam pelayanan dan bertumbuh dalam iman Katolik. Saya juga berharap agar ibu bapa memberi sokongan dan galakan kepada anak-anak untuk melayani di gereja dan melibatkan diri dalam program seperti ini,” katanya.
Feliciti berterima kasih atas kerjasama yang baik daripada semua yang terlibat dalam menjayakan program RAPHAEL 2. “Kerjasama yang diberikan memberikan semangat dan membantu saya untuk mengatasi ketakutan dalam diri saya,” kata Feliciti.
Para peserta dan tim penganjur bergambar bersama