AJKT yang diketuai oleh .Jeffrey Singli menerima watikah perlantikan
Oleh Stella
Mei 18 2024
KUALA PENYU – Gabungan perayaan 5-dalam-1 dianjurkan oleh Paroki St Peter Bundu, Kuala Penyu pada 29 April 2024 untuk meraikan Ulang tahun Pentahbisan Fr Roney Mailap yang ke-12 tahun, Ulang tahun kelahiran Fr Paul Mikin yang ke-64 tahun, kesyukuran Paskah, pengutusan AJKT MPP, KUK, komiti dan kerasulan serta bagi meraikan para baptisan baru yang telah dibaptis pada Malam Paskah yang lalu.
Menyampaikan homili berdasarkan pembacaan hari itu, Fr Roney menggunakan perumpamaan pokok anggur yang berbuah dan subur kerana mendapat nutrisi dari akar yang mencari sumber air dan nutrien, demikian juga hidup manusia yang harus bersatu dengan Yesus yang merupakan sumber kehidupan yang tidak akan habis.
Paderi itu juga mengingatkan para pelayan gereja supaya tidak menggunakan kekuatan manusiawi dalam melayani tetapi menggunakan kebijaksanaan Ilahi untuk mengurus hidup dan mengurus Rahmat yang sudah Tuhan berikan.
Selepas homili, upacara Pengutusan, pemberkatan dan penyampaian watikah perlantikan AJKT MPP, KUK, Komiti dan Kerasulan dilaksanakan.
Pengerusi MPP Jeffrey Singli dalam ucapan beliau, bersyukur atas cinta kasih Tuhan yang membolehkan umat di Paroki merayakan perayaan 5-dalam-1 itu.
Beliau juga berterima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau secara tidak langsung atas pelbagai sumbangan bagi perayaan ini.
Fr Roney dalam ucapannya, menyatakan kesyukuran atas pentahbisannya dan bagi pihak Fr Paul sempena kelahiran beliau yang ke- 64. Klerus itu juga mohon doa agar diberikan kesihatan yang baik dan kebijaksaan di dalam melakukan pentadbiran selaku paderi paroki.
Kepada semua pelayan gereja yang sudah dipilih dan dilantik, diingatkan supaya tidak meragui pelayanan tersebut. Sebaliknya, mengambil tanggungjawab tersebut dengan hati yang terbuka, tidak takut kerana Tuhan akan sentiasa menolong dan membimbing.
Fr Roney juga berpesan kepada para baptisan baru untuk melibatkan diri dalam pelayanan dan mengharapkan perayan 5-dalam-1 ini menjadi platform untuk bekerjasama dan solidariti diantara satu sama lain.
“Mari kita berjalan bersama, memikul tanggungjawab bersama kerana sebuah komuniti itu berkembang bukan sebab kemahiran mengurus seorang diri, tetapi kerana kerjasama dan solidariti daripada keberadaan komuniti itu.” Fr Roney Mailap.
Selepas Misa Kudus, acara diteruskan di dewan gereja bagi upacara pemotongan kek kesyukuran, jamuan makan, persembahan pentas, penyampaian hadiah pertandingan mewarna anjuran Komiti Pelayanan kanak-kanak dan diselitkan juga lagu tajaan oleh kedua-dua paderi bagi tujuan pengumpulan Dana SYD KBK St Peter, Bundu.