Proses Sinode di Paroki Dontozidon dijalankan oleh Komiti Kateketikal dan Legion of Mary (LOM) pada 11 Dis
Oleh Nelson Fernandez
20 Dis 2021
DONTOZIDON – Walaupun dalam keadaan pandemik, tidak menghalang umat di Paroki St Paul untuk meneruskan program yang telah diatur. Namun begitu, setiap program itu haruslah mengikuti SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.
Program Sinode Gereja kali ini dikhaskan bagi gabungan bersama antara Komiti Kateketikal dan Legion of Mary (LOM) di peringkat Paroki.
Aktiviti pada 11 Dis, jam 9.30 pagi itu dimulakan dengan Pentakhtaan Alkitab oleh Fr Russell Lawrine, diikuti dengan penerangan mengenai Sinode daripada Pengerusi Kateketikal. Lagu Roh Kudus kemudian dinyanyikan sebagai persiapan sebelum meneruskan perbincangan sinode Gereja.
Kehadiran ahli-ahli dari kedua-dua komiti ini dibahagikan kepada empat kumpulan kecil bagi membincangkan dan bertukar-tukar pendapat mengenai soalan yang telah diberi. Setiap kumpulan kecil diberikan soalan yang berlainan untuk mereka kongsikan.
Yang menariknya, adalah kehadiran peserta dari Junior LOM, mereka sangat tertarik dan bersemangat sekali apabila mereka mengongsikan pengalaman hidup semasa melayani di Gereja. Ramai mereka mengongsikan perjalanan pelayanan dari mulanya iaitu terpanggil melalui doa, bisikan suara mahupun keintiman dengan seseorang yang beriman.
Selepas pembentangan hasil perkongsian daripada wakil-wakil setiap kumpulan, program sinode ini di teruskan dengan rumusan daripada Fr Russell Lawrine menurut pengalaman yang mereka kongsikan.
Aktiviti ditutup dengan doa berkat oleh Fr Russell, disusuli dengan sesi bergambar sebelum makan tengahari.