Para pemimpin gereja yang mengikuti program ‘Turun Padang’ menuju Malaysia Pastoral Convention (MPC) 2026
Oleh Dospo
Jull 22 2023
PROGRAM ‘Turun Padang’ menuju Malaysia Pastoral Convention (MPC) 2026 diadakan di Paroki St Martin, Telupid pada 17 Jun 2023 sementara Paroki Katedral St Mary, Sandakan yang merupakan destinasi terakhir turun padang bagi Keuskupan Sandakan pula pada 29 – 30 Jun.
Masing-masing paroki dihadiri oleh 50 dan 77 pemimpin gereja. Turut terlibat dalam program itu ialah pemimpin Komuniti Kristian Dasar (KKD).
Program bermula dengan pembentukan iman melalui sesi seperti Expectation Check, Reality Check, Weather Check dan di akhiri dengan I Am a Mission. Pembentukan singkat itu diadakan untuk memberi kesedaran tentang panggilan mereka sebagai yang melayani, mengingatkan tentang gereja dan agama Katolik, berpijak di dunia yang nyata dengan melihat realiti sekeliling dan menanam semangat misi dalam hati.
Selain itu, para peserta dapat belajar cara berdoa, merenung dan berkongsi yang lebih sinodal melalui Spiritual Conversation.
Para pemimpin gereja turut mendapat pelbagai informasi tentang MPC 2026. Seterusnya, mereka diberi masa berlatih bagaimana mengadakan Perhimpunan Pastoral Paroki menggunakan Pelan Pastoral Keuskupan untuk merancang program paroki.
Para pemimpin gereja yang telah melalui program ‘turun padang’ itu diharapkan akan lebih bersemangat, berkongsi serta membawa umat lain untuk turut serta dalam perjalanan menuju MPC2026.
Perkongsian daripada beberapa pemimpin gereja Katedral St Mary, Sandakan:
Cesar Escobido Jr
Perkara berharga yang saya perolehi dalam program ini ialah dapat mendalami ajaran Katolik dan berjalan bersama umat sehaluan dengan pelayanan pastoral. Perkara pertama yang saya ingin lakukan ialah berkongsi informasi kepada keluarga dan kawan-kawan seiman tentang visi dan misi diosis terutamanya sekarang menuju ke Malaysia Pastoral Convention 2026. Saya berharap agar semua umat turut serta dalam perjalanan ini menuju ke MPC 2026.
Anathasia Thomas
Saya dapat mengetahui serba sedikit mengenai Pelan Pastoral yang penting untuk dijalankan bersama dalam satu komuniti. Doa Diosis juga bertepatan dengan misi Pelan Pastoral itu sendiri. Ada banyak infomasi mengenai misi pelayanan yang disampaikan oleh Sr Martina James dan Fr David Garaman untuk saya lebih mendalami iman Katolik. Anna juga memberikan penjelasan yang jelas mengenai maksud MPC. Saya sebagai umat perlu melaksanakan misi saya untuk membantu dalam setiap program Gereja dengan memberikan penyertaan aktif.
Perkara pertama yang saya dapat lakukan ialah berkongsi pengalaman saya kepada rakan sekeliling termasuk ahli keluarga mengenai Pelan dan aktiviti Gereja. Seiring dengan tema Gereja Sinodal iaitu Persekutuan, Partisipasi dan Misi. Sebagai umat Katolik, adalah penting untuk berjalan bersama dan mengetahui perkembangan dalam pembangunan Gereja terutama dalam membantu lebih ramai lagi umat yang berasa terpinggir dan terasing.
Saya berharap agar perjalanan MPC ini dapat membuka ruang untuk lebih ramai lagi umat datang kepada Tuhan dengan mengetahui kepentingan mereka dalam setiap pelayanan atau aktiviti yang diadakan di Gereja. Ia juga akan memperdalamkan lagi pengetahuan umat Katolik untuk menjadi lebih peka akan isu-isu semasa dan membuat tindakan sewajarnya bagi membantu mereka yang memerlukan.
Maria Lourdes Dy
Perkara paling berharga dan bermakna yang saya perolehi adalah “Masa” yang saya luangkan untuk menyertai program MPC Turun Padang ini. It was such ‘a good call’ for me kerana program seperti ini memberikan saya kesedaran tentang apa yang berlaku disekeliling kita dan gereja masa ini sedang hadapi. kesedaran seperti ini mampu membuka mata saya untuk merenung lebih dalam tentang betapa ‘sakitnya’ dunia kita sekarang.
Perkara pertama yang ingin saya lakukan selepas menghadiri program ini adalah membuat ‘self-check’, dimana kemampuan diri saya. Bermula dengan membuat tindakan terhadap diri sendiri terlebih dahulu, pupuk kesedaran itu contohnya kesedaran berkaitan Ekologi, tanam tanggungjawab itu dengan lebih ‘peka’ terhadap alam sekitar. Kalau ada kesempatan, akan turut sama mengambil bahagian untuk melibatkan diri jika ada penganjuran. Namun, yang utama adalah ‘ask God for discernment, seek for it’, agar biarlah setiap tindakan dan permulaan itu dipimpin oleh Roh Kudus.
Perkara yang saya harapkan sepanjang perjalanan paroki Katedral St Mary, Sandakan menuju MPC 2026 adalah semoga semua umat di setiap gereja dapat bersatu dan berjalan bersama tidak kira bangsa dan rumpun seseorang itu mahupun daripada mana-mana komuniti di paroki seseorang itu melayani. Harapan saya juga agar umat kita lebih terbuka hati dan faham apa yang misi ini sampaikan. – Dospo