
Oleh CSG Gaya
PAPAR – Seramai 48 orang penuntut IPGM Kampus Gaya bersama 10 orang belia dari St Patrick Kinuta, Papar melibatkan diri dalam Program Outreach CSG Gaya yang berlangsung dari 25-26 Januari 2025.
Aktiviti bertujuan membawa ahli CSG Gaya untuk terlibat dalam pelayanan di luar kampus dan meningkatkan motivasi mereka dalam pelayanan sambil melakukan kerja amal memperindah kawasan gereja St Patrick Kinuta.
Program bermula dengan sesi taklimat ringkas oleh ketua penyelaras program, diikuti dengan pembahagian tugasan kepada para peserta. Aktiviti pertama yang dijalankan adalah kerja amal/gotong-royong.
Antara kerja utama yang dijalankan termasuk pembersihan pokok tumbang, membuka lampu hiasan (color light), membersihkan bahagian dalam dan luar gereja termasuk di kawasan belakang tandas gereja.
Kerjasama erat antara penuntut IPGM dan belia tempatan jelas terlihat sepanjang program berlangsung. Meskipun cuaca panas terik diikuti dengan hujan gerimis, semangat para peserta tidak luntur.
Dengan kerjasama yang terjalin, tugas-tugas yang mencabar seperti mengalihkan batang pokok besar dapat diselesaikan dengan cekap.
Selain daripada aktiviti kerja amal, beberapa aktiviti turut dijalankan sepanjang program outreach ini seperti sesi Spiritual Conversation, Doa Rosari, permainan berkumpulan atau Games, malam “Talent Night” aktiviti memasak bersama serta aktiviti ziarah di kawasan Limbahau.
Spiritual Conversation yang dijalankan menampakkan pelbagai perasaan dan emosi tersirat yang bercampur dengan rasa syukur kerana dapat melibatkan diri dalam program seperti itu terutama sekali dalam menguatkan iman mereka dan juga membuka minda dan pandangan terhadap sesuatu perkara.
Walaupun program yang padat namun, para peserta sangat bersemangat dan memberi komitmen yang baik sepanjang program.
Program itu telah mencerminkan nilai kebersamaan dan dedikasi ahli CSG Gaya dalam pelayanan masyarakat. Diharapkan usaha sebegini akan diteruskan pada masa akan datang bagi meningkatkan kesejahteraan komuniti dan memperkukuhkan nilai-nilai murni dalam kalangan OMK.