Oleh CBMKK (Disunting oleh ADP Catholic Sabah)
INOBONG – Buat julung kali di Sabah, program Hujung Minggu CHOICE bagi penutur Bahasa Melayu (CBM1KK) diperkenalkan di Keuskupan Agung Kota Kinabalu. Program pertama CBM1KK ini mengambil masa selama tiga hari dua malam yang bertempat di Gereja Sacred Heart, Inobong pada 15-17 Nov dan disertai seramai 20 orang belia.
CBM1KK merupakan satu program yang dibuka kepada belia berumur antara 18 hingga 35 tahun dan berstatus bujang. Salah satu objektif program adalah untuk mengajak para belia supaya terus berjalan bersama dan bertumbuh di dalam iman sesuai dengan tema CHOICE iaitu, “To Know, To Love and To Serve.”
Bermula di Brooklyn, United States pada tahun 1976, program CHOICE diasaskan oleh seorang paderi muda, Fr Tom Morrow. Program ini diperkenalkan di Singapura pada tahun 1981. Di Malaysia, program CHOICE telah lama bermula sekitar 1990-an dan berkembang pesat terutama di Semenanjung dan negeri Sarawak. Ramai belia dan pelajar berasal dari Sabah yang berhijrah ke negeri-negeri di Semenanjung dan Sarawak telah menyertai program Hujung Minggu CHOICE. Kesinambungan itu, mereka membawa idea tersebut dan bersama-sama memperkenalkan dan melaksanakan program Hujung Minggu CHOICE yang pertama di Sabah.
Belia yang belum pernah mengikuti Hujung Minggu CHOICE digalakkan untuk menyertai program tersebut dan merasai sendiri pengalaman sepanjang program berlangsung. Diharapkan program tersebut dapat membantu belia untuk terus berkembang dalam pelayanan mereka di Gereja.
Berikut merupakan salah satu perkongsian dari peserta.
“Shalom, saya sangat bersyukur kerana saya telah diberi peluang untuk mengikuti CBMKK yang pertama dan saya juga mahu berterima kasih kepada Edmund atau dikenali dengan nama manjanya Ang Kol kerana mengajak saya menyertai program Hujung Minggu CHOICE. Sangat banyak yang saya telah pelajari semasa program itu berlangsung dan saya boleh mengatakan bahawa program itu sangat “istimewa” bagi saya sebab banyak perubahan yang saya rasakan pada diri saya selepas menyertai Hujung Minggu CHOICE. Saya akan mengajak dan mengesyorkan rakan saya yang lain untuk menyertai CBMKK yang kedua sebab saya pun mahu mereka merasai sendiri betapa istimewanya program itu. Kepada pihak penganjur, kumpulan perkhidmatan dan penceramah yang bertungkus lumus menjayakan program Hujung Minggu CHOICE di Sabah, saya mahu mengucapkan ribuan terima kasih dan syabas kerana selama kami mengikuti program itu kami telah dijaga dengan baik dan diberi input yang sangat berguna untuk kehidupan kami seharian. Salam damai dari saya Emanuel Max dari CBM1KK. Tuhan memberkati kita dan jumpa lagi.”