Para peserta Perhimpunan Pastoral Paroki St Anthony serius menyertai sesi-sesi yang menumpukan tiga tema utama: Belia, Kepimpinan dan Perpauan
By Karltwin Kerol
Dec 28 2022
KUALA LUMPUR – Sebagai persiapan Sinode para Uskup 2023, Paroki St Anthony menganjurkan Perhimpunan Pastoral Paroki (PPA) bersempena laporan Sinodal Paroki pada Dis 10 lalu di Pusat Pastoral Keuskupan Agung (APC).
Seramai 81 umat, termasuk KED dan ketua-ketua ministri hadir dalam perhimpunan yang menumpukan tiga tema utama hasil daripada penemuan Study Day terdahulu iaitu: Belia, Kepimpinan, Perpaduan.
Dalam ucapannya, Fr Clarence Devadass, padari paroki St Anthony mengalakkan semua umat bekerjasama, berdialog, berbual tentang bagaimana kita boleh berkembang sebagai sebuah paroki.
Jelas paderi itu, paroki di kota dan di luar bandar berdemografik berbeza dan beliau menyeru agar pada tahun hadapan, umat semakin dapat bekerjasama dan bergerak maju bagi memajukan lagi pelayanan di paroki demi kebaikan bersama.
Pada awal perhimpunan tersebut, Sdra Winson Rajah selaku Pengerusi Majlis Pastoral Paroki telah memberi penerangan mengenai hasil dapatan pada hari pengajian yang lalu dan tiga tema utama yang dibawa ke dalam sesi perhimpunan.
Sebelum perkongsian dalam kumpulan bermula, Sdri Rita Krishnan selaku Pengerusi daripada Keuskupan Komuniti Esklesia Dasar Tim Animasi (ABECAT) memberikan penerangan sesi.
Kemudian, para peserta dibahagikan kepada sepuluh kumpulan mengikut tiga tema utama yang diberi.
Pada akhir sesi dalam kumpulan, setiap wakil kumpulan membentangkan hasil dapatan mereka yang turut disaksikan oleh Uskup Agung Julian Leow.
Dalam perhimpunan ini juga, pembentangan bajet belanjawan bagi tahun 2023 telah dibentangkan olah Sdri Lucy Wong dari Majlis Kewangan Paroki.
Tujuan pembentangan ini untuk memberitahu umat status kewangan terkini dan perancangan belanjawan tahun hadapan bagi kegunaan pelbagai aktiviti yang telah dirancang.
Dalam ucapan penutupnya, Uskup Agung Julian menegaskan agar para peserta sentiasa memerhatikan hubungan kita dengan Yesus.
“Jika relasi kita dengan Yesus adalah teguh maka ke mana sahaja kita pergi, iman tidak mudah goyah.”
Prelatus itu juga berpesan agar Gereja menyediakan keperluan-keperluan seperti yang diperlukan oleh umat paroki.
Uskup Agung Julian tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada Fr Clarence dan pembantunya, Fr Eugene Benedict di atas dedikasi mereka mengadakan PPA dan pelbagai aktiviti di paroki itu. – Herald Malaysia