Para peserta yang mengikuti Planning Camp, 22-23 Okt
Oleh MPD CSG-UMS
Nov 21 2022
KOTA KINABALU – Pada 21-23 Okt lalu, Catholic Student Group – Untuk Melayani Sesama (CSG-UMS) telah mengadakan Planning Camp (PC) di Msgr Wachter Center.
Program PC ini adalah penting untuk menilai semula keperluan program dalam sesi sebelumya mengikut keadaan semasa.
Seramai 63 orang peserta termasuk Ahli Jawatankuasa Pelaksana (AJP) dan Lembaga Pengarah (LP) yang tediri daripada pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta hampir 20 orang sukarelawan telah menyertai Planning Camp ini.
Objektif program ini adalah untuk melihat dan mengkaji semula program yang sesuai dianjurkan, menyusun takwim selaras dengan visi dan misi CSG-UMS serta memberi peluang kepada peserta untuk merenung dan menerima panggilan Tuhan melalui program CSG-UMS sesi 2022/2023.
Salah satu kumpulan yang membentangkan idea untuk program CSG-UMS
Antara pengisian dalam PC ialah See, Judge dan Act di mana peserta membuka minda untuk berfikir dan mencadangkan program yang sesuai untuk dijalankan berdasarkan isu yang dibincangkan sepanjang sesi itu.
Di samping itu, peserta dapat berbincang tentang isu semasa dalam kampus bagi penganjuran program yang lebih relevan.
Beberapa program terbentuk dalam sesi See, Judge dan Act akan dijalankan untuk menangani isu yang dialami para belia Katolik di Kampus.
Seterusnya, semua peserta membuat undian sambil dibantu oleh AJP dan sukarelawan untuk lima program tambahan yang dibentuk melalui idea para peserta.
Tiga program tambahan telah mendapat undian tertinggi iaitu Belia Missionaris Masuk Kampung (BMMK), CSG Youth Camp (CYC) dan Ziarah.
Sementara itu, dua program wajib yang akan dijalankan bagi setiap sesi ialah Welcoming Junior Party (WJP) untuk menyambut pelajar Katolik baharu UMS dan Malam Seribu Kenangan (MSK) untuk pelajar tahun akhir yang bakal bergraduasi.
Pemilihan Lembaga Pengarah bagi setiap program mengikut keterbukaan hati peserta
Seperti tema yang dipilih daripada petikan Injil, Matius 20:28 “Sama seperti anak Manusia datang bukan untuk dilayani, melainkan melayani dan untuk memberikan nyawa-Nya menjadi tebusan bagi banyak orang.”
Pemilihan LP bagi setiap program yang akan dijalankan bagi sesi 2022/2023 dilakukan melalui keterbukaan hati dan panggilan untuk melayani dalam program pilihan peserta.
Penyusunan takwim CSG-UMS juga telah dilakukan dan diatur dengan sebulat suara sesuai dengan takwim akademik di kampus agar dapat menyeimbangkan penglibatan pelajar dalam aktiviti kerohanian dan akademik.
Dalam sesi LP’s How to, para LP baharu didedahkan dengan cara-cara menangani program yang akan dijalankan dengan nasihat daripada alumni CSG-UMS tentang pengendalian program.
Penyerahan fail program daripada LP lama kepada LP baharu dilakukan pada hari terakhir program PC. Fail yang diserahkan kepada LP baharu merupakan panduan mereka untuk merancang perjalanan program yang mereka pilih.
Pihak penganjur berharap semua program yang dirancang dapat dijalankan dengan jayanya dan mengucapkan tahniah kepada semua LP yang menyahut panggilan untuk melayani.
Sesi penyerahan fail program kepada Lembaga Pengarah baru