
Oleh CSG IPG Kent
KOTA KINABALU – Catholic Student Group (CSG) telah mengadakan Planning Camp pada 6-7 Julai di Msgr Watcher Catholic Centre, Kota Kinabalu.
Seramai 35 pelajar dari Institut Pengajian Guru (IPG) Kent telah menyertai program itu.
Planning Camp merupakan program penting bagi ahli CSG Kent untuk melihat keberkesanan program-program yang dilaksanakan pada sesi lalu melalui pembentangan dan penilaian.
Program itu bertujuan untuk melihat dan membincangkan isu dan realiti pelajar Katolik di kampus bagi memastikan program yang dirancang adalah bersesuaian dengan keperluan sosial dan iman Katolik pelajar. Selain itu, memberi peluang kepada exco dan biro CSG Kent untuk menyusun takwim secara terperinci sebagai rujukan pelaksanaan program sepanjang sesi 2024/2025. Dalam pada itu, peserta dapat merenung dan menerima panggilan Tuhan untuk menjadi alatNya dalam program CSG Kent pada sesi 2024/2025.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan. Antara pengisian yang dijalankan adalah sesi See, Judge and Act di mana peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil untuk menganalisis isu dan realiti pelajar Katolik di Kampus IPG Kent, Tuaran. Setiap kumpulan diminta untuk merancang satu program dengan tujuan mengatasi isu-isu yang terlibat lalu diteruskan dengan sesi undian bagi menentukan beberapa program yang sesuai untuk dilaksanakan.
Mereka telah melakukan perbincangan di dalam kumpulan masing-masing terlebih dahulu sebelum membuat analisis beramai-ramai dengan bimbingan daripada Campus Ministry Team (CMT). Program yang terpilih ialah CSG Kent Family Camp dan Belia CSG Kent Masuk Kampung.
Aktiviti Surat Untuk Diri juga dijalankan bagi membantu peserta untuk meluahkan fikiran dan perasaan mereka kepada Tuhan melalui penulisan surat untuk diri sendiri. Kandungan surat itu terdiri daripada apa yang ingin dikatakan kepada Tuhan mengenai panggilan pelayanan dalam CSG serta harapan yang ingin dicapai pada masa hadapan dalam pelayanan sebagai seorang belia kampus Katolik. Secara tidak langsung, sesi itu dapat membantu para paserta merenung panggilan Tuhan dalam sesi pemilihan pelayanan.
Penyusunan takwim juga dibincangkan bersama untuk menentukan tarikh yang sesuai bagi program CSG Kent Family Camp dan Belia CSG Kent Masuk Kampung dengan bimbingan CMT. Begitu juga bagi program wajib Welcoming Junior Party (WJP) dan Annual General Meeting (AGM).
Pemilihan Lembaga Pengarah program pula dibuat secara sukarela dan tanpa paksaan daripada mana-mana pihak. Peserta merenung panggilan secara peribadi dan dengan sukarela menyumbangkan nama mereka untuk menjadi lembaga pengarah program. Pemilihan itu penting bagi memastikan kepimpinan CSG Kent terdiri daripada individu yang komited dan berkemampuan untuk membawa organisasi ke arah yang lebih baik.
Secara keseluruhan, objektif program Planning Camp telah berjaya dicapai berdasarkan pelaksanaan sesi-sesi pengisian program yang telah dirancang. Program berjaya membuka minda peserta mengenai pentingnya menitikberatkan isu dan realiti pelajar Katolik yang berlaku di persekitaran mereka sama ada di dalam mahupun di luar kampus. Objektif perancangan program yang bersesuaian dengan keperluan sosial dan iman Katolik pelajar turut berjaya dilaksanakan. Penyusunan takwim CSG Kent bagi sesi 2024/2025 nampak lebih teratur setelah dibincangkan dan dipersetujui bersama.
Para peserta juga mendapat peluang untuk merenung dan menerima panggilan Tuhan secara sukarela melalui keputusan mereka sendiri untuk menjadi ahli dalam lembaga pengarah program bagi mengendalikan program CSG Kent yang akan datang.