Uskup Cornelius Piong
Oleh Euseclara Suah
Oct 2 2023
KOTA KINABALU – Perhimpunan Kateketikal Sabah ke-2 (PKS-2) dihadiri 821 peserta dari tiga keuskupan di Sabah pada 15-17 Sep lalu di Dewan Katedral Hati Kudus, Kota Kinabalu. Turut hadir dalam program itu adalah peserta dari Keuskupan Agung Kuching dan Keuskupan Agung Kuala Lumpur.
Pada sesi ketiga iaitu Katekis: Saksi Harapan dan Kasih, bersama dengan semua peserta, Uskup Cornelius Piong bermula dengan nyanyian lagu yang diciptanya pada tahun 1981 bertajuk ‘Kotumbayaan om kaharapan tokou’ yang mengungkapkan tentang iman, harapan dan kasih.
Uskup Cornelius berkata bahawa kita sebagai katekis harus diperbarui dengan semangat untuk terus berjalan bersama dalam iman, harapan dan kasih.
Para katekis diingatkan bahawa ibu bapa adalah katekis yang pertama dan utama. Uskup memuji katekis pada masa kini yang semakin banyak cabang seperti katekis Ibadat Sabda, katekis pembimbing, dan banyak lagi.
Sepanjang sesi itu prelatus menekankan peranan katekis itu adalah untuk membawa Tuhan Yesus dikenali, dikasihi dan dilayani.
Di samping itu, Uskup Cornelius juga berkongsi bagaimana pelayanan katekis itu bermula di Sabah. “Kira-kira pada tahun 1881, misionaris adalah kepala pemimpin katolik kita dari Eropah datang membawa khabar baik. Mereka diutus oleh Bapa Suci dan datang dengan bersemangat walaupun tidak pandai berbahasa Dusun, Kadazan dan Cina tetapi mereka datang ke sini kerana kasih mereka kepada Tuhan.
“Misionaris pada ketika itu tidak banyak dan mereka mecari orang yang boleh membantu mereka dan masa itulah katekis perlahan-lahan mengambil peranan mereka membantu para paderi pada waktu itu. Mereka masuk ke kampung membawa khabar baik dan semuanya itu bersumber dari cinta kasih Tuhan,” kata uskup.
Dia menambah “Tujuan kita menjadi seorang Katekis ialah menjadi saluran kehadiran Yesus bagi meneruskan Visi agar kita dapat mengenal, mengasihi dan melayani Tuhan.”
Dia berkata pelayanan sebagai katekis itu juga tidak mudah, terutamanya bagi mereka yang berkeluarga.
“Jangan pernah melupakan dan meninggalkan Sabda Tuhan,” pesannya, “kita perlu baca, dengar dan renung kerana dari Sabda Tuhan kita mendapat terang atau cahaya dalam perjalanan hidup dan pelayanan kita.”
Selain itu, uskup juga mengingatkan agar semua katekis “tidak mencari masa” tetapi “mengambil masa” untuk melakukan tugas pelayanan.
Akhir sekali, dia mengajak para katekis untuk menjalankan tugas pelayanan dengan semangat kesatuan dan mengakhiri sesi dengan menyanyikan lagu.