Fr Peter Chung
Oleh Linda Edward
Aug 24 2022
TUARAN – Tuhan menganugerahkan seorang lagi paderi baharu untuk Keuskupan Agung Kota Kinabalu, menjadikan empat orang paderi baharu pada tahun ini, apabila Diakon Peter Chung Pit Soon selesai ditahbis di paroki asalnya, St John Tuaran.
Peter, 44, berasal dari Tamparuli, ditahbis oleh Uskup Agung John Wong pada 22 Ogos 2022 dalam Misa Kudus jam 10.00 pagi.
Paderi baharu berketurunan Cina-Dusun dari Kg Tambalugu ini, memilih petikan dari Yoh 15:12 “Hendaklah kamu saling mengasihi seperti Aku mengasihi kamu” sebagai tema pentahbisannya.
Mengulas mengenai tema ini, Fr Peter berkata, “Dalam setiap kehidupan dan pelayanan, sikap mengasihi ini seharusnya tanpa syarat seperti juga Yesus yang sanggup mati di kayu salib untuk orang lain.”
“Sesungguhnya pentahbisan ini bukanlah untuk keluarga saya, perkumpulan-perkumpulan tertentu atau individu-individu tertentu tetapi pentahbisan ini adalah untuk Gereja iaitu kita semua dan untuk kemuliaan Tuhan. Seperti juga Yesus yang mengasihi semua orang tanpa syarat dan pilih kasih,” katanya.
Doa Litani kepada Santo dan Sangti
Fr Peter berasal dari keluarga yang besar, dia adalah anak ke-lima dari 11 orang adik-beradik (enam lelaki dan lima perempuan).
Dia berkata keluarganya memberikan dia sebuah hadiah terbesar, “Kerelaan mereka melepaskan saya untuk menyahut panggilan kepaderian untuk Gereja dan untuk kemuliaan Tuhan. Hadiah ini amat bermakna bagi saya yang tidak dapat diganti dengan barang-barang duniawi.”
Ahli keluarganya hadir menyaksikan Fr Peter ditahbis
Paderi baharu mengucapkan terima kasih tak terhingga kepada ramai sahabat dan umat yang berjalan bersamanya dan membantunya dari permulaan pembentukan sehingga pada hari pentahbisan.
Antaranya Msgr Primus Jouil dan Fr Thomas Makajil yang banyak membantunya melihat dan mengenal erti panggilan imamat, dan sesungguhnya ajakan itu telah membuahkan hasil, katanya.
Bagi paroki St John Tuaran, ini adalah kali kedua ia menyaksikan pentahbisan seorang paderi sejak 30 tahun lalu di mana Fr Aloysius Fidelis telah ditahbis di gereja yang sama pada tahun 1992.
Solidariti dan kerjasama untuk Gereja Sinodal
Uskup Agung John berkata dengan bertambahnya seorang lagi paderi ke dalam Presbiterium Keuskupan Agung, dia berharap agar peranan bersama menjalankan misi Gereja akan lebih giat lagi.
Uskup Agung John Wong menjalankan ritual pentahbisan
“Fr Peter, saya berharap agar kehadiran kamu akan membantu menguatkan lagi semangat solidariti dan kerjasama antara paderi, membina sebuah Gereja Sinodal,” kata Uskup Agung.
Uskup-Uskup Gereja Katolik Malaysia, Singapura dan Brunei baru sahaja selesai memuktamadkan laporan sintesis Sinod semasa Konferensnya pada pertengahan Ogos lalu.
Prelatus sekali lagi menekankan usaha membina Gereja yang bersifat sinodal iaitu semua lapisan umat berjalan bersama dalam mewujudkan kerajaan Tuhan di bumi.
“Marilah kita hapuskan sikap tidak peduli di kalangan kita dan melibatkan diri dalam hidup menggereja,” katanya.
Prelatus juga berterima kasih kepada keluarga Fr Peter, walaupun ada di antara mereka yang belum seiman namun kerelaan mereka membenarkan Peter masuk ke seminari adalah satu tanda yang sangat dihargai, katanya.
Paderi baharu mengucapkan Doa Ekaristi
Anugerah empat paderi baharu
Atas anugerah empat paderi baharu, Uskup Agung berkata, “Saya berterima kasih kepada Tuhan atas anugerah empat paderi baharu, saya bersyukur atas belas kasih dan cinta kasihNya kepada Keuskupan Agung kita.
Empat paderi baharu pada tahun 2022 adalah Frs Sylvester Wong, Terans Thadeus, Lasius Gantis dan Peter Chung.
“Kepada empat paderi baharu, saya berharap kamu telah mengalami belas kasih dan cintakasih Tuhan ini.
“Harapan saya agar sekarang kamu menjadi belas kasih dan cintakasih Tuhan kepada para umat,” kata prelatus.
Empat paderi baharu Keuskupan Agung KK (dari kiri) Fr Lasius Gantis, Fr Terans Thadeus, Fr Bede Morti (Diosis Keningau), Fr Peter Chung, Fr Sylvester Wong dan Fr Raymond Lee (Diosis Sandakan). Mereka adalah rakan sekelas di seminari.
Pentahbisan empat paderi ini dijalankan di empat tempat yang berbeza, Uskup Agung berkata dia mengharapkan maklum balas yang menggalakkan dari umat di empat tempat ini.
“Saya berharap anak-anak muda di semua tempat ini akan menjawab panggilan menjadi paderi atau religius.
“Dan saya berharap kepada umat awam yang lain agar berjalan bersama paderi kamu untuk membangunkan sebuah Gereja Sinodal,” katanya.
Latar belakang Fr Peter Chung
Peter Chung lahir pada 7 Jun 1978 di Tamparuli kepada bapa Chung Chung Loi dan ibu Mary binti Bagou.
Katanya dia mempunyai sebuah keluarga yang unik, di kalangan 11 adik-beradiknya ada yang beragama Kristian, Islam dan tanpa agama. Namun Fr Peter berkata ini tidak pernah menghalang mereka daripada bersatu.
Gambar keluarga di Kg Kauluan, Tuaran (2011) (Gambar dari buku pentahbisan)
Fr Peter sendiri tidak mempunyai agama sepanjang di bangku sekolah. Dia pernah mengikuti kakaknya ke Misa Kudus semasa masih kanak-kanak tetapi tidak memahami apa-apa dan mendengar homili oleh paderi adalah sesuatu yang membosankan.
Keinginan untuk mempunyai agama timbul apabila dia melangkah ke sekolah menengah melihat kawan-kawan lain mempunyai status agama. Demikian juga sewaktu mengisi borang pada awal tahun persekolahan yang memerlukan pelajar meletak status agama.
Dia kemudian tercari-cari aliran Kristian yang mahu diikutinya, akhirnya memilih agama Katolik.
Kata Fr Peter, “Saya sedar bahawa Kristian Katolik adalah agama yang mempunyai sejarah hitam namun agama ini dengan rendah hati menerima kelemahan itu serta memilih untuk memperbaiki dan mengekalkan iman Katolik mereka.”
Tanpa diketahui ibu bapanya, dia mengikuti kelas Inisiasi Kristian Dewasa (IKD) di Gereja St John Tuaran pada 1996.
Semasa di IKD, dia juga aktif melayani di LOM, OFS, CCR, Belia, bulan rosari dan karoling.
“Dalam proses pembentukan saya menjadi seorang Katolik, ada sahaja bisikan suara yang berkata, “Jika anda ingin mengenali Aku dengan lebih dalam, carilah Aku melalui paderi itu”.
Sejak bisikan ini, rahmat Tuhan tidak berhenti-henti melimpahi hidupnya. Dia mengikuti komiti pelayan altar dan berkesempatan mengikuti para paderi ke stasi luar. Di sana dia mulai jatuh cinta dengan pelayanan imamat.
Kemudian dia mengikuti seminar panggilan pada tahun 1997, namun kerana usia yang terlalu muda, dia dinasihatkan untuk mencari pengalaman bekerja dahulu.
Lalu dia melanjutkan pelajaran sehingga memperolehi Sarjana Muda dalam bidang Geologi di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan terus bekerja sebagai ahli geologi di Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Sabah.
Semasa di bangku sekolah, kolej dan universiti (Gambar dari buku pentahbisan)
Semasa bekerja sebagai ahli geologi (Gambar dari buku pentahbisan)
Namun “niat menjadi seorang paderi itu tidak pernah padam dalam diri dan saya masih aktif meneruskan pelayanan di gereja terutamanya dalam liturgi dan pelayan altar,” kata Fr Peter.
Sekali lagi pada tahun 2003, dia mengikuti seminar panggilan untuk kali kedua, dia diterima masuk namun dia menolak kerana menerima tawaran melanjutkan pengajian di peringkat sarjana pula.
Namun pengajian itu tidak mampu diteruskan kerana katanya belajar sambil bekerja adalah berat.
Akhirnya setelah 10 tahun (2004-2013) bekerja sebagai ahli geologi, dia sebulat hati memberanikan diri untuk “melangkah dan mengikutiNya”.
Sekali lagi dia mengikuti seminar panggilan pada 2014 dan seterusnya memasuki seminari untuk pembentukan.
Seminari sehingga pentahbisan
“Sesungguhnya, pembentukan peribadi yang melibatkan semua aspek kemanusiaan, kerohanian, akademik, komuniti dan pastoral bukanlah sesuatu yang mudah kerana ianya memerlukan keterbukaan diri, kesabaran dan doa yang berterusan.
“Apabila Tuhan memanggil dan memilih, Dia akan menyediakan segala sesuatu.
“Ini terpulang kepada sikap keterbukaan kepada sahutan Tuhan dan kerendahan hati untuk melihat karya-karya Tuhan yang bekerja di sekeliling,” kata Fr Peter.
Dia memasuki Initiation Year (IY) pada tahun 2014. Kemudian pada tahun 2015 sehingga 2021, memasuki seminari di St Peter’s College, Kuching, Sarawak.
Kehidupan di seminari (Gambar dari buku pentahbisan)
Fr Peter menjalani kerja-kerja pastoral pada setiap tahun seperti berikut:
2015 – LOM, RCIA dan CCR di Katedral St Joseph Kuching
2016 – Hospital Kanser, Hospital Mental dan Chesire Home juga di bawah Katedral St Joseph Kuching
2017 – Ministri Belia di Kg Tian Sekawan, Serian
2018 – Ministri Migran di Katedral St Joseph Kuching
2019 – Paroki St Peter Claver’s Ranau
2020 – Katedral Hati Kudus, KK
Dec 2020 sehingga Jan 2021 – St Peter Tatau, Miri
Sep sehingga Dis 2021 – Paroki Blessed Sacrament Labuan
Uskup Agung John Wong mentahbisnya menjadi diakon pada Dis 2021 di Katedral Hati Kudus, KK. Fr Peter terus melayani sebagai diakon di St Joseph Papar dan Holy Rosary Limbahau. Kini, setelah ditahbis, Uskup Agung menempatkannya di St Joseph Kiulu untuk melayani sebagai paderi.
Para paderi yang hadir pada hari pentahbisan Fr Peter