Oleh Sherryllyn Pehus & ES
KOTA MARUDU – Seramai 146 peserta termasuk tim penganjur menyertai program Belia Misionari Katolik (BMK) Nalapak dengan tema Journey of Hope pada 12-13 Feb 2025 di St Clare, Nalapak, Kota Marudu.
Program BMK Nalapak anjuran bersama Tim Penginjilan Paroki dan KBP St Michael, Pinatau dijalankan buat kali pertama di mana mereka melalui perjalanan yang sama dengan laluan peserta Program Belia Masuk Kampung pada waktu dahulu.
Objektif program itu diadakan adalah untuk menjangkau umat di luar kawasan sempena Tahun Jubli 2025 dan membentuk semangat misionari dalam kalangan umat atau belia yang menyertai program tersebut.
Para peserta berkumpul di Gereja St Michael, Pinatau bagi taklimat ringkas dan doa sebelum memulakan perjalanan menuju ke lokasi program.
Mereka berjalan kaki bermula dari St Michael, Pinatau ke St Joseph, Sungoi Laut seterusnya ke St Alphonsa, Sungoi Darat dan tiba di lokasi program, St Clare, Nalapak.
Jarak perjalanan para belia ke lokasi program sejauh 20 kilometer di mana mereka mengambil masa lima jam dengan berjalan kaki.
Sepanjang program itu berlangsung, para paderi, Fr Rayner Bisius dan Fr Jack Johimi telah memberikan sokongan penuh program BMK dengan mengiring serta menjadi penasihat belia. Turut hadir bersama dalam BMK ialah Seminarian Ryan Paul dan Michael Jackson Korom, Pengerusi Komuniti Umat Katolik (KUK) St Michael, Pinatau.
Aktiviti yang dijalankan dalam program BMK adalah berdoa rosari secara berkumpulan dan berdoa Doa Tahun Jubli di setiap perhentian satu rombongan.
Tiba di St Clare, Nalapak, mereka makan tengahari bersama secara Pot bless diikuti dengan aktiviti Energizer dan Ice breaking yang dilakukan secara berkumpulan bagi mengeratkan hubungan antara belia yang datang dari chapel-chapel di bawah naungan St Theresa, Kota Marudu.
Misa Kudus pembukaan yang diadakan pada petang itu dipimpin oleh Fr Rayner dan diteruskan dengan makan malam serta sesi Journey of Hope yang turut disampaikan oleh Fr Rayner.
Hari berikutnya, pada 13 Feb, mereka memulakan aktiviti mereka dengan Misa Kudus. Setelah itu, mereka mengadakan lawatan Laudato Si di Sub Stesen Nalapak, Taman Kinabalu yang merupakan Tapak atau Taman Warisan di Kg Nalapak sebelum para peserta bertolak pulang.
Dalam program itu, para peserta berkesempatan untuk bersuai kenal bersama dengan belia dari chapel lain dan juga orang kampung.