
Oleh Clarence Dol
RANAU – Vincent Wilfred dengan karyanya ‘Keluarga Seperti di Nazareth’ muncul juara Pertandingan Mencipta Lirik dan Lagu dan Lirik Rohani (PMLLR) Paroki St Peter Claver Ranau (SPCR) 2024 yang diadakan di sini baru-baru ini.
Pertandingan bertemakan ‘Keluarga Bejana Cinta Kasih’ itu dianjurkan bersama oleh kumpulan koir Good News Melody (GNM) dan Kerasulan Keluarga Katolik, dan berlangsung di dewan SK St Benedict Ranau pada 28 Feb lepas.
Objektif am program itu diadakan ialah bagi mencungkil bakat umat dan kumpulan koir dalam bidang mencipta lagu rohani, liturgi, ekaristi untuk memperkayakan pemahaman terhadap sabda Tuhan dan doa-doa dalam bentuk lagu.
Manakala objektif spesifik pula ialah bagi menggalakkan umat dan kumpulan koir mencipta lagu untuk dinyanyikan dalam upacara kerohanian atau Misa Kudus (pembukaan, persembahan, pemberian umat, komuni, perutusan dan penutup).
Ia juga bertujuan bagi mencipta lagu rohani liturgi ekaristi yang dilengkapi dengan alunan melodi, penghayatan dan lirik lagu yang sesuai dinyanyikan semasa upacara kerohanian atau Misa Kudus.
Di samping itu, ia juga bagi menambah koleksi lagu rohani liturgi ekaristi sedia ada yang boleh digunakan di dalam upacara kerohanian atau Misa Kudus di Paroki Ranau dan kawasan luar Paroki Ranau.
Vincent muncul juara selepas mengalahkan 21 peserta termasuk sembilan finalis lain dalam pertandingan itu, yang terdiri daripada Belia St Francis of Assisi Zon Nalapak dengan lagu mereka Keluarga Kudus, Edwin Jool (Dalam Rumah Kecil Penuh Damai), Nealty Jaimes dan Jae Reynold (Keluarga Bejana Cinta Kasih), Anavella Hanry Darry (The Vessel of Love), Belia Zon Lobou Lama (Tetap Tinggal Dalam Rumahku), Dudley G Yunsir (God is With My Family), Jackrison Liman dan Patricia Tabor (Keluarga Anugerah Dari Allah), DGS@Koh Ming Fui (Kami Bejana Kasih-Mu) dan Ashley Saleviter (Keluarga Kudus).
Dalam ucapan alu-aluannya, paderi paroki SPCR, Fr Ambrose Michael Atang mengucapkan terima kasih dan syabas kepada semua peserta yang mengambil bahagian dalam acara itu.
“Salam kasih dan damai kepada saudara saudari dalam Kristus. Pertamanya kita memanjatkan ucapan syukur kepada Tuhan yang mahakuasa kerana dengan limpahan berkatNya kita dapat menganjurkan PMLLR Peringkat Paroki Ranau dengan jayanya.
“Ucapan tahniah dan syabas khususnya kepada GNM dan Komiti Kerasulan Keluarga Katolik SPCR kerana dengan jayanya dapat menganjurkan PMLLR buat julung kalinya bagi tahun 2024/2025.
“Saya juga bersyukur dan amat menghargai penglibatan 22 penyertaan dalam menjayakan pertandingan ini. Tanpa penyertaan tentu sekali pertandingan ini tidak dapat disempurnakan. Tahniah dan syabas kepada semua peserta,” katanya.
Penghargaan turut diberikan kepada para dermawan yang sudi memberi sumbangan dalam menjayakan program berkenaan.
Selaku rektor paroki SPCR, Fr Ambrose amat menyokong dan menggalakkan penganjuran pertandingan seumpama ini untuk memperbanyakkan koleksi lagu-lagu rohani. Dia berharap, semoga pertandingan seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
Sementara itu, pengerusi penganjur, Richard Jaimin Sumpit mengucapkan tahniah kepada yang menang dan bagi yang tidak berjaya teruskan berkarya dan cuba lagi di masa akan datang.
Richard mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak terutamanya ahli-ahli jawatankuasa penganjur yang telah bertungkus-lumus dalam memastikan kelancaran majlis itu.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada penyumbang ikhlas yang telah membantu pihak penganjur dalam menampung kos perlaksanaan program ini secara keseluruhan.
“Harapan saya agar pertandingan seperti ini dapat diteruskan setiap tahun bagi mencetus dan meniup semangat dalam kalangan umat di paroki ini kearah penciptaan lirik dan melodi yang berkualiti,” katanya.