Fr Paul Lo menyampaikan ceramah rekoleksi liturgi
Oleh Nelson Fernandez
Sep 13 2022
DONTOZIDON, Penampang – Seramai 163 Pelayan Liturgi telah mengikuti Rekoleksi Liturgi pada 31 Ogos lalu di Paroki St Paul Dontozidon untuk merenung kembali mengenai persiapan dan tatacara dalam Misa Kudus.
Fr Paul Lo, Rektor Paroki, merupakan penceramah utama rekoleksi ini yang telah lama tertunda akibat pandemik COVID-19.
Rekoleksi dihadiri oleh ketiga-tiga Gereja iaitu St Paul Dontozidon, Our Lady Queen of Peace Kobusak dan St John the Baptist Kopungit.
Sebelum sesi bermula, Pentakhtaan Alkitab dilakukan oleh Hermes Sikajat, Pengerusi Majlis Pastoral Paroki disusuli dengan sedikit renungan daripada pembacaan Injil oleh Fr Paul.
Rekoleksi dibahagikan kepada dua sesi iaitu tentang persediaan dalam Misa Kudus dan tatacara ataupun simbol dalam Misa Kudus.
Dalam sesi pertama, Fr Paul berkata, persiapan secara peribadi adalah penting dalam persiapan Misa Kudus.
Fr Paul memberitahu para umat agar membuat persiapan diri apabila berada dalam Misa Kudus untuk mendengar dan menghayati sabda.
Persiapan para petugas liturgi adalah menepati masa agar perayaan Misa Kudus dapat dijalankan dengan sempurna.
Pelayan Liturgi yang terlibat ialah katekis atau Pelayan Komuni Tak Lazim (ECM), koir, pemain muzik, pewarta, pemazmur, warden dan pelayan altar.
Dia berkata persediaan pembacaan juga adalah penting supaya pewarta yang bertugas bersedia dan tahu apa yang mereka baca agar tidak melakukan kesilapan.
Dalam sesi kedua, Fr Paul menekankan tentang simbol atau tanda dalam liturgi, iaitu setiap benda yang digunakan dalam perayaan Misa mempunyai maksud tertentu.
Uskup Agung atau paderi menggunakan buku Misa Kudus dan doa khas yang berbeza pada Misa hari minggu, pesta Santo dan Sangti serta lain-lain perayaan.
Tempat duduk paderi, Predential Chair, ambo, altar dan umat mempunyai tanda khas.
Warna Chasuble paderi mempunyai tanda mengikut musim perayaan Misa dan pelayan altar mengenakan Cinture mengikut warna Chasuble.
Setiap perayaan Misa mempunyai simbol mengikut tatacara perayaan yang dirayakan dan para umat dapat tahu perayaan yang dirayakan melalui warna pada masa itu.
Pemilihan lagu yang mudah dan sesuai membawa peranan penting dalam Misa Kudus agar umat turut serta menyanyi bersama ahli koir.
Para katekis atau ECM harus peka bahawa Tubuh Kristus adalah kudus dan harus dijaga dengan baik.
Rekoleksi Liturgi diakhiri dengan Misa Kudus sebagai penutup aktiviti diikuti sesi bergambar dan jamuan makan tengahari di dewan St Paul Dontozidon.
Fr Paul bergambar dengan pelayan liturgi dan umat selepas Misa Kudus