Para peserta KBK 6 bergambar bersama Uskup Cornelius Piong dan para paderi selepas Misa Kudus
Kompilasi KOMSOS Keningau
Sep 21 2023
MEMBAKUT – Khemah Belia Keuskupan ke-6 (KBK-6) anjuran Komisi Kerasulan Belia Katolik Keuskupan Keningau diadakan pada 27-31 Ogos lalu di St Patrick Membakut.
Berikut adalah hasil perkongsian daripada peserta, penganjur, rakan belia dan umat melalui pengalaman mereka sepanjang program KBK-6 itu berlangsung.
Claudia Shereen Stanis, Paroki Roh Kudus,Sook (Peserta)
Banyak pengalaman indah yang tidak akan pernah saya lupakan, program kali ini sangat berbeza dan membawa impak yang besar atas diri saya sendiri apa lagi saya datang sebagai ketua kontinjen Paroki Roh Kudus Sook semasa program KBK-6 berlangsung. Saya sangat bersyukur kerana berpeluang mengikuti program ini sekali lagi dan banyak sukacita yang terjadi semasa KBK-6 itu, paling saya tidak boleh lupakan adalah sesi persahabatan dan sesi kekeluargaan.
Kedua-dua sesi tersebut sangat memberi impak besar dalam hidup saya, kerana saya sedar bahawa diri saya selama ini tidak dapat hidup bersendirian, mungkin kerana saya memiliki luka batin sejak lahir iaitu ibu saya melahirkan saya melalui cara pembedahan dan menurut ibu saya dia sangat takut ketika itu, kerana doktor tidak memberikan harapan kepada saya untuk hidup kerana ibu saya sedang menghidapi penyakit batu karang.
Maka itu, selama saya hidup di dunia ini, saya tidak pernah bersendirian kerana ‘ketakutan yang melampau dalam diri saya’. Melalui sesi ini, saya dapat meluahkan segala keresahan dalam diri saya, dan saya juga mendapat sahabat yang baik, saling bertukar nombor dan berhubungan baik dengan mereka.
Banyak lagi sukacita yang ingin saya kongsikan seperti sesi kekuatan berdoa, sesi jalan salib, My Talent dan sebagainya, namun saya akhiri perkongsian saya ini dengan satu kata iaitu “KBK-6 AVASI!”.
Oliver nick ubing, paroki st francis xavier, keningau (Peserta)
Pengalaman selama lima hari dan empat malam yang luar biasa menyertai program belia terbesar bagi Keuskupan Keningau iaitu Khemah Belia Keuskupan-6 atau KBK-6. Ini merupakan kali kedua saya menyertai KBK ini kali terakhir ialah KBK-5 yang bertempat di Gereja Roh Kudus, Sook, pada KBK-5 yang lalu kita telah mengatakan YA kepada panggilan Tuhan dan pada KBK=6 ini kita sekali lagi diingatkan akan misi kita sebagai Belia Katolik dan untuk meneruskan misi tersebut.
Terdapat banyak cabaran yang saya dan juga rakan-rakan saya hadapi semasa KBK-6 ini, namun semuanya dapat dihadapi dengan hati yang tenang melalui kesabaran dan bersyukur. Sepanjang KBK ini juga saya dapat berjumpa dengan kawan-kawan lama dan juga membuat ramai kawan-kawan baru. Melalui KBK-6 ini juga Iman saya disegarkan dan diteguhkan semula melalui sesi-sesi yang dijalankan sepanjang program ini.
Perkara yang paling menyentuh diri saya semasa KBK-6 ini ialah pada hari ketiga di mana sepanjang hari itu dari Misa pagi hingga doa malam semuanya dikendalikan oleh father, brother dan sister dari Pertapaan Karmel Kaingaran. Semasa sesi kaunseling dan pengakuan dosa, saya benar-benar merasakan kehadiran Tuhan melalui diri paderi dan merasakan bahawa Tuhan ada untuk saya dan sedia mengampuni semua dosa-dosa saya. Semasa Healing Adoration saya telah disembuhkan dan saya dapat menerima diri saya walaupun banyak kekurangan, kerana Tuhan lebih dulu mencintai saya.
Sesi kekeluargaan adalah satu sesi yang sangat menarik dan banyak memberi saya pengajaran, dalam sesi ini kami dibahagikan dalam kumpulan-kumpulan yang kecil dan kami diminta untuk mengongsikan tentang kesatuan dan hubungan dalam keluarga kami sebelum, sesama dan selepas covid-19. Apa yang saya dapat ialah semua kami bukanlah dari keluarga yang “perfect” malah ada yang berpecah-belah akan tetapi kesemua kami masih dapat menerima dan mencintai keluarga kami seadanya kerana Tuhan itu adalah kasih. Yesaya 6:8 “Inilah aku utuslah aku” walau dimana pun saya berada biarlah Tuhan menggunakan saya untuk menyebarkan berkatnya dan membawa misi Kristus bersama-sama saya. KBK-6 AVASI!
Natalea Kenneth, St Anthony Tenom (Peserta)
Perkongian saya bermula daripada Misa pembukaan KBK-6 oleh Msgr Gilbert. Dalam homilinya, mengatakan seorang belia jangan takut dalam menjalankan misi walaupun setiap hari dicabar dengan hasutan iblis dan perkara yang kurang menyenangkan hati Tuhan. Di sini juga secara peribadi saya merenungkan betapa Yesus itu sayang kepada kita malah setiap hari Dia menjamah hati kita, namun kita sahaja tidak membuka hati kita untuk Dia masuk ke dalam hati kita. Khemah Belia Keuskupan (KBK6) ini berlangsung selama lima hari. Selama ini saya hanya mendengar saja perkongsian dari kawan-kawan namun kali ini saya telah mencipta kenangan di KBK-6 ini.
Saya tertarik dengan sesi Kekeluargaan. Dalam sesi ini kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Dalam kumpulan saya terdapat beberapa rakan yang datang daripada “Broken Home”. Ada yang ingin sekali merasakan bagaimana mempunyai keluarga yang bahagia. Terutama apabila pandemik melanda dunia, ada keluarga yang dapat berkumpul namun ada juga yang terpisah sehingga merenggangkan hubungan mereka. Seterusnya, hari keempat pada sebelah petang kami dibawa keluar dari kawasan gereja untuk melakukan Charity Mission.
Kami semua diminta untuk melakukan kerja amal di kawasan yang sudah ditetapkan dan kumpulan saya ditempatkan di sebuah klinik. Setibanya kami disitu kami mulakan dengan berdoa terlebih dahulu dengan sedikit kata-kata semangat yang saya kongsikan iaitu kata-kata dari St Theresa Lisiuex melakukan perkara kecil dengan segenap hati dan mempersembahkan itu kepada kemuliaan Tuhan.
Maka bermulalah misi kami untuk mengutip sampah di sekitar klinik tersebut. Ketika kami sedang bekerja ada seorang lelaki yang merupakan pemilik kedai gunting rambut yang terdekat dengan klinik tersebut bertanya tentang aktiviti yang sedang kami lakukan, lalu rakan saya memberitahu bahawa kami sedang melakukan misi kerja amal. Tidak kira tempat dan terhadap siapa kami akan bertemu kerana apa yang saya percaya, sesi ini bertujuan untuk memberikan teladan dan mengajarkan kami cara hidup berkomuniti yang baik tanpa mengira tempat dan orang.
Pada hari terakhir, sekali lagi saya disegarkan dengan homili dari Uskup Cornelius iaitu, harapannya kepada peserta selepas menyertai KBK-6 ini, agar meneladani Bonda Maria yang bangkit, dan bergegas pergi untuk melakukan kehendak Tuhan. Juga, melibatkan Bonda Maria dalam memperbaiki hubungan dalam keluarga. Bonda Maria paling tahu keperluan kita secara peribadi, keluarga mahupun komuniti, katanya. Akhir sekali, Uskup Cornelius juga menegaskan kepada belia “setialah kepada Tuhan” jangan pernah meninggalkan Tuhan Yesus.
Jackob Gosibin, Paroki St Anthony Tenom (Penganjur)
Pengalaman mengikuti KBK-6 kali ini boleh saya katakan agak istimewa kerana jika sebelum ini saya sebagai peserta namun kali ini sebagai MOT. Pelayanan sebagai tim penganjur sudah tentu perkara baharu saya alami sebagai seorang belia, apalagi menggalas tanggungjawab di bahagian pengangkutan dan juga menyampaikan sesi Kekeluargaan. Bukan semudah untuk saya menerima tugas ini kerana tidak terfikir langsung apa yang akan saya lakukan kelak hingga hampirmenarik diri dari tugasan ini. Namun tema KBK-6 kali ini “Maria bangkit dan bergegas pergi” Lukas 1:39 menyentuh hati saya untuk memberanikan diri menyahut panggilan ini.
Sesi ini sebenarnya sangat menyentuh hati saya sejak di beri kepercayaan untuk menyampaikan sesi ini dengan di bantu oleh Edna Dominic dan Rose Vitus. Di sisi lain saya pada awalnya tidak tahu apa yang ingin di sampaikan sehingga takut jika gagal untuk menyampaikan sesi ini. Namun ternyata penyertaan Roh Kudus dan Bonda Maria sangat membantu saya dalam sesi ini sehingga tercetusnya idea untuk melukis Imej Keluarga Kudus di Nazareth sebagai kekuatan dalam sesi ini. Sejak dari perbincangan bersama Edna dan Rose tentang pengisian sisi kekeluargaan saya suda mempunyai satu perasaan yang seakan-akan membawa saya berelasi dengan para belia semasa KBK-6 nanti.
Secara ringkasnya, semasa sesi ini dilaksanakan terutama semasa sesi perkongsian dalam kumpulan melalui soalan-soalan yang di beri saya sangat tersentuh dengan luahan dan perkongsian dari peserta-peserta yang bagi saya di luar jangkaan saya kerana ada beberapa perkongsian yang menyentuh hati tentang konflik keluarga peserta yang begitu berat terutama sebelum,semasa dan selepas berlakunya Covid 19, lebih mengharukan lagi ketika semua peserta diminta untuk menghubungi atau menuliskan luahan mereka terhadap ibubapa dan ahli keluarga mereka.
Peristiwa ini juga membuat saya merenung kembali diri saya betapa saya sangat bersyukur akan anugerah yang Tuhan berikan kepada saya melalui keluarga yang saya ada pada hari ini. Di kemuncak sesi keluarga, selepas perkongsian beberapa rakan-rakan belia, babak ketika mereka diminta untuk mengoyakkan kertas yang ada tertulis masalah-masalah dalam keluarga lalu saat itu juga terlihat lukisan imej Keluarga Kudus Nazareth lalu melekatkan gambar mereka bersama keluarga.
Memori ini membuatkan saya terharu juga merasakan semangat yang sama seperti para peserta, untuk menjadi agen pembawa damai dan memulihkan keluarga. Harapan saya selepas KBK-6 ini semoga para peserta termasuk diri saya sendiri membawa misi, semangat dan harapan dan meneladan Keluarga Kudus di Nazareth yang utuh.
Penny Usip, Paroki St Anthony Tenom (Penganjur)
Shalom, salam kasih dalam Kristus. Saya bersyukur kepada Tuhan atas kesempatan yang saya dapat untuk menyertai Khemah Belia Keuskupan (KBK-6) tahun 2023 . Ini merupakan KBK yang ketiga saya sertai tetapi pada kali ini saya menyertai sebagai tim penganjur utama dimana saya mengendalikan sesi Persahabatan.
Secara peribadi, ketika persiapan saya merasa sangat tidak yakin dan risau tetapi saya tetap bersyukur kerana doa dan semangat yang diberikan oleh rakan-rakan penganjur yang lain. Dan semasa KBK-6 berlangsung terutamanya pada sesi yang saya kendalikan, saya merasakan seperti ada satu kuasa yang mendorong saya bergerak dan menjayakan sesi ini.
Saya merasakan kerisauan saya hilang serta merta dan saya memperoleh sukacita! Mendengar perkongsian daripada para belia juga menguatkan saya dan memberi saya inspirasi untuk terus melayani. Dengan melihat wajah para belia yang begitu bersemangat saya percaya bahawa Roh Kudus bekerja dalam diri saya pada saat itu.
Moilin David, Gereja Roh Kudus Sook (Rakan Belia)
Shalom! Saya Moilin David sebagai Rakan Belia yang berperanan menguruskan menyediakan keperluan makanan peserta seramai lebih 800 peserta selama lima hari di KBK-6. Saya rasa bersyukur atas peluang dapat melayani di KBK-6 dan saya berasa kagum dan gembira dapat berkenalan dengan rakan belia yang lain walaupun tugasan ini penat namun ianya pengalaman yang bermakna dan menyeronokkan bagi saya. Menariknya, ada yang baru berumur 13 tahun namun sangat bersemangat dan gigih melayani bersama kami.
Walaupun Rakan Belia dari Membakut dan Sook baru sahaja bekerjasama untuk kali pertama semasa KBK-6, tidak mengambil masa yang lama untuk kami serasi dan saling membantu. Sebagai rakan belia yang berpengalaman dalam KBK-5 yang lepas, saya dan rakan lain turut membimbing sesama agar tugasan kami berjalan dengan baik. Kami saling bertukar pendapat dan berkongsi pengalaman melayani malah, cabaran seperti kekurangan air, kami dapat selesaikan dengan baik.
Terima kasih tim penganjur bahagian makanan iaitu, Caroline dan Leonie kerana selalu melawat kami di dapur sepanjang bertugas. Banyak pengalaman yang saya perolehi di KBK-6 dan saya berharap KBK-6 dapat mewujudkan kelompok belia yang bersemangat dan mampu berjalan bersama.
Henna Insil, St Patrick Membakut (Umat Tempatan/ Lot Penginapan)
Pada mulanya, saya tidak memahami KBK-6, namun selepas mengikuti mesyuarat dan persiapan, fikiran saya terbuka, Sungguh luarbiasa! Seperti tema KBK-6, Maria Bangkit dan Bergegas pergi, saya umpamakan dalam persiapan saya dan rakan-rakan dalam menuju KBK-6.
Keterlibatan saya adalah dalam menguruskan penginapan, ianya memerlukan komitmen tinggi apalagi keadaan penginapan yang kurang meyakinkan untuk menampung ramai peserta namun, atas dukungan Bonda Maria akhirnya semua dapat diatur dengan baik. Program KBK-6 adalah sesuatu yang baru kerana ia pertama kali diadakan di St Patrick Membakut.
Kerjasama dan semangat yang ditunjukkan oleh tim penganjur memberikan semangat dan ianya pengalaman yang membanggakan buat saya, lebih-lebih lagi adanya kebersamaan umat, bukan senang kami dapat berkumpul bersama sekiranya tidak ada program speerti ini. Memang tidak mudah penganjurannya, apatah lagi, saya perlu berkorban masa dan tenaga untuk hadir bersama mempersiapkan program ini, namun inilah yang membuka mata saya.
Menyedari keadaan para belia masa ini, terdetik dalam hati saya, adakah saya sebagai seorang ibu dan umat Katolik dapat membimbing anak-anak muda? Semoga para belia berani menyahut cabaran dan seperti dalam lagu tema KBK-6, Bangkitlah Mari Melangkah, umat Katolik khususnya belia perlu bangkit untuk menjayakan pelayanan yang ikhlas tanpa rungutan.