Axzel Elxin Alexander
Kompilasi oleh Euseclara Suah
Oct 14 2022
Axzel Elxin Alexander (28) dari zon Sugud
Shalom dan salam damai terlebih dahulu syukur dan puji Tuhan atas kesempatan yang diberikan kepada saya untuk memberi perkongsian mengikuti PYD 8 pada 15-18 sep 2022 yang lalu dan dalam program ini ada beberapa sesi dan aktiviti yang telah dijalankan.
Pertama sekali, saya rasa terpanggil mengikuti PYD 8 ini melalui rakan sepelayanan belia. Saya memberanikan diri menyahut cabaran sebagai ketua kontinjen walaupun saya menghadapi masalah dalam memimpin. Saya diberi kepercayaan dalam tugas pelayanan seperti ini buat kali pertama namun saya percaya dengan pimpinan Roh Kudus dan sokongan serta nasihat dari rakan-rakan, saya dapat melakukan dengan hati yang terbuka dan tenang.
Berdasarkan tema PYD 8 ‘Bangkit & Bersaksilah’ (Kis 26:16) bagi pemahaman saya, bangkit membawa erti menghidupi ajaran Yesus kerana ini akan mengubah cara hidup belia untuk menjadi pelayan Tuhan. Melalui program seperti ini, saya secara peribadi merasakan damai dan saya dapat berbagi sukacita kepada sesama belia yang lain.
Pemahaman saya tentang ‘Bersaksilah’ adalah membawa orang lain mengalami pengalaman yang saya rasa dari cintakasih Tuhan, terlebih dalam penyertaanNya di setiap peranan belia. Kesaksian ini sudah pasti demi kemuliaan Tuhan yang membawa keselamatan dan bertujuan agar lebih ramai belia diteguhkan dalam iman.
Pengajaran dari sesi kedua, saya menyedari kekuatan untuk menjadi berani adalah melalui teladan Bonda Maria, dan cabaran untuk menjadi berani adalah saya takut melakukan kesilapan. Cara saya menghadapi cabaran saya adalah berdoa kepada Bonda Maria untuk mendapatkan ketenangan dan meminta Roh Kebijaksanaan dalam memimpin setiap pemikiran dan perbicaraan saya.
Mengenai ‘Let it be Green’ pula, kita harus mengekalkan kehijauan alam semulajadi. Melalui aktiviti ini saya menyedari akan pentingnya hubungan tumbuhan hijau kepada manusia. Saya menghidupi ‘Let it be Green’ dalam kehidupan seharian seperti menanam dan menyiram tumbuhan, menanam pokok bunga atau tumbuhan lanskap di halaman dan di kawasan yang terhakis.
Setelah selesai program PYD 8 ini, harapan saya adalah semoga semakin ramai belia yang terpanggil dan berani menyahut cabaran mengikuti program atau aktiviti seperti ini. Melalui PYD 8 ini, saya mahu hidupi dalam keluarga saya dengan menghayati kehadiran Tuhan yang penuh kasih dan menyelamatkan serta membawa keluarga kepada pengalaman yang sama.
Sekian dan terima kasih, Tuhan memberkati.
Caoimhebrowyn Bobby
Caoimhebrowyn Bobby (15) dari Zon Sugud
Saya telah dipanggil untuk mengikuti PYD-8 melalui pelayanan koir di gereja. Saya berasa sangat bersyukur dan gembira kerana dapat menyertai program PYD-8 ini.
Saya mempunyai pelbagai “salib” dan masalah yang ada pada kehidupan seharian saya. Contohnya seperti, mama menyuruh saya untuk membuat kerja rumah dan cara saya menghadapinya adalah membuat kerja yang termampu serta tidak menghentak kaki kalau disuruh buat kerja rumah. Selain itu, saya berasa tekanan terhadap pembelajaran. Tetapi saya berusaha dan tidak berputus-asa dan membuat jadual belajar supaya masa belajar saya dibahagi dengan baik dan mempunyai masa untuk menjalankan aktiviti yang lain.
Berdasarkan tema PYD-8 “Bangkit dan Bersaksilah”, perkataan “Bangkit” bermaksud menghidupkan semula. Kita perlu bangkit dari segala kekalahan serta kegagalan yang kita hadapi. Jika kita terjatuh, kita harus bangun semula walau apa jua cabaran yang kita hadapi.
Bersaksilah merupakan satu perkataan yang bermaksud orang yang mengetahui atau melihat segala sesuatu peristiwa. Saya bersaksi pada Yesus untuk lebih menyelami cinta kasihNya dengan lebih mendalam. Saya mahu bersaksi untuk Yesus agar setiap masalah dan kehidupan saya dapat dibaik-pulihkan.
Berdasarkan sesi ke-2 “Be brave” yang lalu, kita haruslah menjadi seseorang yang berani agar dapat mencapai sesuatu yang hebat dalam hidup kita. Dalam pada itu, keberanian juga diperlukan apabila berada di dalam situasi yang penting, lebih lagi dalam membuat keputusan dan tindakan. Apabila berada di tempat yang gelap, saya berasa sangat takut. Tetapi, untuk membuang rasa takut itu dalam diri, saya berdoa Bapa Kami dan Salam Maria secara berulang kali agar dapat dilindungi.
Melalui pemahaman saya, “Let it be Green” bermaksud menanam lebih banyak tumbuhan hijau agar dapat menenangkan jiwa dan minda. Saya mencuba untuk tidak mencemarkan alam sekitar seperti membuang sampah sarap dan sebagainya. Manakala lebih membuat kerja amal seperti menanam pokok di halaman rumah.
Saya berharap agar lebih ramai lagi belia menyertai program PYD-8 ini. Saya ingin menghidupi PYD-8 di dalam keluarga saya dengan berdoa kepada Yesus setiap hari. Dengan itu, kasih Tuhan tidak akan disia-siakan.
Semoga tuhan memberkati anda selalu.
Persembahan belia pada hari pertama (Welcoming)