Nexson Benedict
Kompilasi oleh Euseclara Suah
Oct 5 2022
Nexson Benedict (16) dari Zon Buayan/Terian
Saya mengikuti PYD 8 melalui keinginan diri sendiri kerana ingin mendekatkan diri pada Tuhan.
Masalah saya dalam kehidupan ialah saya kurang percaya pada diri sendiri. Saya mengatasinya dengan cara mendekatkan diri pada Tuhan dan mempercayaiNya bagi menyakinkan diri dalam menghadapi semua cabaran hidup saya.
Bangkit bermaksud, saya harus bangun daripada kesilapan dan memperbaikinya. Saya bangkit untuk memperbaiki semua kesilapan yang melanggar ajaran gereja dengan mengikuti ajaran Tuhan. Saya kurang yakin terhadap diri sendiri. Oleh itu, saya mendekatkan diri kepada Tuhan agar saya memperoleh keyakinan diri.
Bersaksi bermaksud saya harus melakukan sesuatu yang dapat menunjukkan bahawa saya beragama Kristian Katolik iaitu dengan menyebarkan firman Tuhan. Saya bersaksi untuk Tuhan Yesus kerana dia telah berkorban demi menebus dosa dunia. Saya mahu mendekatkan lagi hubungan saya dengan Tuhan dan agar saya boleh menjadi contoh kepada umat lain.
Saya perlu berani agar saya dapat menghadapi semua cabaran hidup. Cabaran saya untuk menjadi berani ialah saya kurang percaya diri. Saya takut akan gagal mencapai cita-cita saya. Oleh itu, saya belajar dengan bersungguh sungguh.
Pemahaman saya tentang ‘Let it be Green’ ialah kita harus bersyukur dengan mengekalkan keindahan alam ciptaan Tuhan. Kita haruslah menjaga pemberian Tuhan dan mengekalkan keindahan alam sekitar. Saya akan menghidupi ‘Let it be Green’ dengan sentiasa menjaga kebersihan alam sekitar seperti mengamalkan amalan 5R (Reuse, Recycle, Reduce, Rethink, Repair).
Saya berharap agar saya dapat mengikuti PYD yang seterusnya iaitu PYD ke-9 dan menjadi saksi kepada Tuhan. Saya berharap agar iman saya dan keluarga lebih dalam.
Rosemila Mosus
Rosemila Mosus (16) dari Zon Buayan/Terian
Bagaimana anda dipanggil mengikuti PYD 8?
Saya dipanggil mengikuti PYD 8 melalui Fr Gilbert Marcus (rector pembantu St Michael Penampang). Dia bertanya jika saya ingin mengikuti PYD 8 yang akan diadakan di Maang. Ada juga orang lain yang mengingatkan saya tentang PYD 8 dan membawa saya untuk ikut serta dalam program ini.
Apakah ‘Salib’ atau masalah anda dalam kehidupan anda dan bagaimana anda menghadapi atau menghidupi ‘Salib’ atau masalah itu?
Masalah saya dalam kehidupan saya ialah saya susah mendekatkan diri dengan orang lain. Saya selalu merendahkan diri dan tidak berkomunikasi dengan orang baru. Saya seorang yang pemalu dan tidak yakin dengan diri sendiri. Walaubagaimanapun, saya menghadapi masalah saya dengan sentiasa membaca kata-kata motivasi dan ayat-ayat yang positif daripada orang lain melalui media sosial seperti Instagram, TikTok, Facebook dan lain-lain di mana mereka memuat naik dan berkongsi kehidupan mereka. Saya juga merenungkan kehidupan orang lain yang sentiasa mengambil inisiatif membangkitkan diri untuk mengalami perubahan dalam diri mereka. Hari demi hari, saya mulai sedar dan lebih bersemangat untuk berkenalan dengan orang lain.
Berdasarkan tema PYD 8 ‘Bangkit & Bersaksilah!’ (Kis 26:16) Apakah yang anda faham tentang ‘bangkit’?
‘Bangkit’ ialah perkataan yang menyeru saya untuk bangun menjadi seorang yang lebih tabah dan mengharungi beban dan masalah dalam kehidupan saya. Apabila saya jatuh, seperti mengalami kegagalan dalam pembelajaran atau berputus asa dalam menjalani kehidupan. Perkataan bangkit menyuruh saya untuk bangun dan sedar bahawa kegagalan itu tidak berkekalan. Oleh itu, saya berusaha dan bekerja keras daripada apa yang saya sudah lakukan untuk mencapai kejayaan.
Kenapa anda perlu bangkit dan bangkit daripada apa?
Saya perlu bangkit kerana saya mempunyai tujuan tersendiri dalam hidup. Sekiranya saya menghadapi kegagalan, saya harus bangkit dan menerima semua yang terjadi serta menggunakan kegagalan itu sebagai pengajaran saya untuk menjadi lebih baik. Saya harus bangkit daripada banyak masalah, termasuk masalah pembelajaran, persahabatan, kekeluargaan, penyakit seperti COVID-19 dan lain-lain. Kesenangan tidak akan berkekalan begitu juga dengan kesusahan. Jadi setiap hari saya harus bersedia dan tabah untuk menghadapi semua cabaran itu.
Apakah yang berlaku dalam hidup anda pada masa ini dan apa yang kamu lakukan?
Saya merasa hidup saya menjadi lebih susah dan lebih banyak masalah datang ke dalam kehidupan saya. Saya seorang pelajar dan saya harus belajar demi kejayaan masa depan saya. Selain itu, hari demi hari, saya harus belajar berdikari untuk berjauhan dengan keluarga tersayang dan kawan-kawan untuk pergi ke institusi pembelajaran yang lebih tinggi. Saya akan sentiasa berfikiran rasional apabila menghadapi sesuatu masalah agar saya tidak terus jatuh atau berputus asa untuk mencapai kejayaan dengan cemerlang. Saya berfikir bahawa masa tidak harus disia-siakan dengan keseronokan sementara dan mementingkan diri sendiri. Saya harus menimba ilmu dan pengalaman agar saya dapat melakukan sesuatu yang memberi impak positif dan bermakna kepada saya serta mereka yang saya sayangi.
Apakah pemahaman anda tentang bersaksi?
Menurut pemahaman saya, ‘bersaksi’ ialah perkataan yang menjadikan saya seorang yang merasai, melihat atau berada di tempat kejadian. Bersaksi juga menguji kejujuran dan kepercayaan saya terhadap apa yang saya alami dalam kehidupan.
Anda bersaksi untuk siapa dan mengapa?
Pada pendapat saya, sebagai umat Katolik, saya mendengar firman Tuhan dan percaya untuk bersaksi dengan benar dan memberitakan kepada mereka yang belum mengenal Yesus Kristus. Yesus menyerahkan dirinya di kayu salib untuk menyelamatkan manusia daripada dosa-dosa mereka. Yesus sentiasa bersedia dan bersikap terbuka terhadap orang lain. Saya bersaksi untuk melayani Tuhan dan mengikuti ajarannya serta menerimanya untuk tinggal dalam kehidupan saya.
Apa tujuan kamu untuk bersaksi?
Tujuan saya untuk bersaksi adalah kerana kepercayaan dan pengajaran terhadap ajaran Kristian Katolik di mana banyak Santo dan Sangti yang sudah bersaksi dalam kehidupan mereka terhadap Yesus Kristus dan mengatakan ‘Ya’ terhadap panggilan mereka. Mereka adalah contoh dan teladan yang sangat baik kepada umat Kristian dalam kehidupan seharian. Oleh itu, saya harus bersedia mengatakan ‘Ya’ dan bersaksi kepadaNya dan menempuhi setiap cabaran yang dihadapi.
Berdasarkan sesi ‘Be Brave’
Kenapa anda perlu berani?
Saya harus berani kerana keberanian menjadikan kita tidak takut untuk mengambil risiko untuk kehidupan seharian. Jika tiada keberanian, apabila saya menghadapi masalah yang besar, saya akan mudah berputus asa dan tidak mendapat apa-apa.
Apakah cabaran anda menjadi berani?
Cabaran saya ialah masalah yang akan saya hadapi apabila mengambil risiko melakukan sesuatu yang baru. Sebagai contoh, saya mengambil keputusan untuk belajar di Universiti di luar negara. Cabaran saya adalah perlu pandai menyesuaikan diri apabila berada jauh daripada keluarga tersayang, berkenalan dengan orang lain, terdedah kepada kehidupan masyarakat di negara itu dan lain-lain lagi. Saya harus berani memilih keputusan yang benar dan dapat membawa kemajuan kepada diri saya. Selain itu, cabaran saya adalah apabila berdepan dengan masalah besar, saya perlu berani bertindak dan menerima kesannya tidak kira baik atau buruk.
Apakah yang anda takut dan bagaimana anda mengadapi perasaan takut serta cabaran anda?
Saya mempunyai beberapa ketakutan iaitu kehilangan kepercayaan dalam iman dan keluarga. Saya takut kehilangan kepercayaan kerana mungkin pada suatu hari nanti saya akan berhadapan dengan banyak orang yang berlainan agama yang mampu mempengaruhi saya. Saya menghadapi rasa takut dengan menguatkan iman saya dan berani untuk bergaul dengan mereka secara sihat. Saya tidak seharusnya menjatuhkan iman saya hanya kerana seseorang itu. Hal ini kerana, kehilangan anggota keluarga sangat menyedihkan dan menyakitkan. Saya takut berjauhan dengan mereka dan harus berpisah untuk mencapai kejayaan agar kejayaan dapat dirasakan bersama dengan mereka. Namun begitu, saya menanamkan rasa takut saya dengan berfikir bahawa mereka sentiasa berada di sisi untuk menyokong dan melihat saya berjaya. Mereka akan sentiasa memenangi hati saya dan kegembiraan saya.
‘Let it be Green’
Apakah yang anda faham mengenai ‘Let it be Green’?
‘Let it be Green’ ini adalah untuk penjagaan alam sekitar. Alam sekitar haruslah dijaga dan dipelihara bagi mengekalkan keindahan persekitaran yang dikelilingi tumbuhan hijau yang menyegarkan. Kita boleh melakukan sesuatu untuk alam sekitar dalam aktiviti ‘Let it be Green’ seperti menanam semula anak pokok di tempat yang kekurangan pokok atau terbiar. Dengan ini, kita memenuhi kehendak ‘Let it be Green’ dengan memelihara dan memulihara alam sekitar.
Apakah yang anda dapat daripada ‘Let it be Green’?
Saya mendapati bahawa saya juga bertanggungjawab untuk menjaga alam sekitar yang merupakan alam ciptaan Tuhan yang seharusnya dijaga dan dijadikan tempat yang terlindung. ‘Let it be Green’ menyedarkan saya untuk peka terhadap alam sekitar yang pada hari ini semakin berkurangan disebabkan oleh penerokaan dan pembalakan untuk pembangunan. Hal ini tidak boleh dibiarkan berleluasa dan saya harus sentiasa berinisiatif untuk melakukan sesuatu kepada alam sekitar.
Bagaimana anda menghidupi ‘Let it be Green’ dalam kehidupan seharian anda selepas ini?
Sebagai seorang remaja, saya akan menghidupi ‘Let it be Green’ dalam kehidupan seharian dengan menjalankan tanggungjawab seperti mengikuti kempen-kempen yang berkaitan alam sekitar dan saya juga akan tidak membuang sampah merata-rata tempat terutamanya di kawasan hutan atau di kawasan tumbuh-tumbuhan hijau. Saya juga akan menyebarkan matlamat ‘Let it be Green’ ini kepada rakan-rakan, saudara mara dan kepada adik-adik yang masih belum mengetahui perkara ini.
Harapan Belia
Apakah harapan anda setelah program PYD 8 ini?
Saya berharap agar saya dapat melakukan sesuatu kepada masyarakat berkaitan dengan tujuan tema PYD ini. Saya ingin bangkit dan bersaksi dengan berani menempuh setiap cabaran dan kesusahan yang datang. Saya akan terus maju dan bangun walaupun menerima kegagalan yang berterusan. Saya ingin mengalami perubahan dalam diri saya kerana dalam PYD 8 banyak perkara yang menyentuh hati saya dan memberi motivasi kepada saya. Saya juga berharap agar dapat membantu menyedarkan kawan-kawan yang sekarang mengalami masalah dan kemurungan sehingga berputus asa untuk meneruskan hidup lalu mengambil cara dengan menamatkan kehidupan mereka.
Apakah yang ingin anda hidupi dalam PYD 8 di dalam keluarga anda?
Saya menerima keluarga saya seadanya dan juga kekurangan mereka dalam membesarkan saya. Kadang-kadang pergaduhan dan salah faham memang akan berlaku. Nnamun saya berdoa agar masalah itu tidak akan merosakkan kebahagiaan keluarga saya.
Tema PYD 8 ini akan saya lakukan dalam keluarga saya dengan berdoa dan bersatu dalam menguatkan iman masing-masing. Apabila keluarga saya ditimpa masalah, saya akan bangkit dan menghadapi masalah itu sedaya upaya saya. Keluarga yang bahagia itu tidak berkekalan begitu juga dengan keluarga yang bermasalah. Saya ingin sentiasa peka terhadap keluarga dan sentiasa ada di samping mereka untuk memberikan kasih sayang dan penjagaan sebagaimana mereka membesarkan saya dan adik-beradik saya. Saya ingin keluarga saya bersatu dalam iman dan sentiasa percaya diri untuk menghadapi kehidupan seharian.
READ ALSO: