Foto berkumpulan
Oleh Philomena Tamin
August 2 2022
PULAU PINANG – Julung kalinya ‘Funholiday Tours and Travel’ menganjurkan Perjalanan Iman selama empat hari ke St Anne Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 24 – 27 Julai 2022.
Perjalanan ini telah mendapat sambutan hangat di mana seramai 51 orang menyertai dalam rombongan tersebut.
Kedatangan rombongan dari Sabah dialu-alukan oleh Diakon Lawrence, selaku Pengerusi Penganjur ‘Feast Day of St Anne’ Bukit Mertajam.
Dalam ucapan alu-aluannya, Diakon Lawrence berterima kasih dan sentiasa mengalu-alukan kedatangan umat dari Sabah bukan hanya pada tahun ini tetapi juga pada tahun-tahun akan datang.
Rombongan Funholiday Tours and Travel telah diberi kepercayaan untuk menganjurkan Perayaan Ekaristi dalam bahasa Kadazan pada hari pesta St Anne itu. Perayaan Misa itu dipimpin oleh Fr Herman Menjuan, paderi Mill Hill Missionaries dan dibantu oleh Friar Crispus Mosinoh yang kini sedang melayani di Diosis Penang.
Koir perayaan Misa
Turut serta dalam perayaan Misa tersebut adalah rombongan dari Paroki Sacred Heart KK, Paroki Dontozidon dan beberapa kumpulan umat dari Sabah. Lagu Pembukaan dan penutup Misa diiringi dengan perarakan Sumazau yang dipersembahkan oleh beberapa umat yang menyertai rombongan Funholiday.
Kehadiran Sr Florence dan Sr Marysia, FSIC dari Sabah yang kini melayani di Diosis Penang menambahkan kemeriahan perayaan Misa tersebut.
Antara aktiviti yang dianjurkan dalam program Perjalanan Iman ini, termasuklah melawat Muzium Keuskupan Pulau Pinang, Bukit Bendera Pulau Pinang, Kampung Agong dan beberapa tempat lain.
Dalam lawatan ke setiap tempat, rombongan ini berpeluang untuk merasai dan menikmati pelbagai makanan terutama cendol dan nasi kandar yang merupakan makanan istimewa yang terdapat di Pulau Pinang.
Rombongan Funholiday Tours and Travel