Para peserta sedang fokus mendengar sesi
Oleh Jason Joenoi & Henry Chua, JAWATANKUASA UTAMA MPC 2026 SHC/CMI
Nov 2 2023
KOTA KINABALU – Perhimpunan Pastoral Paroki bersama Paroki Sacred Heart (SHC) dan Gereja Mary Immaculate (CMI) telah berjaya diadakan pada 28 Sept 2023 di Pusat Paroki Sacred Heart, memenuhi keperluan Konvensyen Pastoral Malaysia (MPC) 2026.
Kira-kira 400 umat dari kedua-dua paroki tersebut telah menyertai perhimpunan ini, mewakili dari pelbagai kumpulan gereja dan komisi dari tiga kumpulan bahasa, iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, dan komuniti yang berbahasa Cina. Walau bagaimanapun, input mereka adalah pada tahap peribadi dan bukannya sebagai ahli kumpulan atau komisi tertentu.
Dalam persediaan untuk Perhimpunan Pastoral Paroki ini, satu Jawatankuasa Bersama yang mewakili kedua-dua paroki telah dibentuk pada tahun 2021. Selepas itu, empat Jawatankuasa Kecil dibentuk untuk menguruskan empat keutamaan, iaitu Gereja, Sosial, Ekologi, dan Keluarga. Jawatankuasa Kecil ini diberi tugas untuk menjalankan sesi kajian untuk ahli Jawatankuasa Kecil masing-masing dan ia juga terbuka kepada umat yang berminat mengenai dokumen Ensiklik Bapa Suci Fransiskus iaitu Evangelli Gaudium (Gereja), Fratelli Tutti (Sosial), Laudato Si (Ekologi) dan Amoris Laetitia (Keluarga). Bagi setiap dokumen, soal selidik telah disediakan berdasarkan kaedah Lihat, Nilai, dan Bertindak.
Bagi MPC 2026 Peringkat Paroki, ianya telah dilancarkan pada 25 Feb 2023 semasa Misa Petang “Sunset Mass” di SHC oleh Uskup John Wong, dengan penayangan video ucapan Uskup John Wong mengenai tujuan dan perjalanan gereja tempatan menuju MPC yang akan diadakan di Majodi, Johor pada Sept 2026.
Sebagai sebahagian dari persiapan untuk Perhimpunan Pastoral Paroki, mesej video yang sama oleh Uskup Agung John Wong telah dipaparkan semula semasa Misa Petang “Sunset Mass” dan Misa Kudus Ahad pada 23 dan 24 Sept 2023, di kedua-dua Paroki, SHC dan CMI bagi meningkatkan kesedaran kepada umat mengenai Perhimpunan tersebut.
Perhimpunan Pastoral Paroki bermula dengan pendaftaran peserta pada jam 8.00 pagi dan diakhiri dengan perayaan Misa Kudus Kesyukuran pada jam 3.30 petang yang dipimpin oleh Fr Paul Lo bersama dengan Fr Saimon William dan Fr Terans Thadeus sebagai konselebran.
Perjalanan program perhimpunan ini sebenarnya bermula pada jam 8.45 pagi dengan Pengangkatan Alkitab, diikuti dengan Liturgi Firman dalam Bahasa Malaysia dan Cina kemudian bacaan Injil yang diambil daripada Injil Lukas 4:14-20 oleh Fr Paul Lo.
Dalam khutbahnya, Fr Paul menjelaskan bahawa Perhimpunan Pastoral Paroki ini bertujuan untuk belajar mengenai pengalaman umat di kedua-dua paroki, pendapat umat mengenai haluan yang patut diambil oleh masing-masing paroki, Keuskupan, dan gereja di Sabah.
Uskup Agung John Wong yang turut hadir pada permulaan Perhimpunan ini dijemput untuk memberikan beberapa kata dorongan kepada peserta, di mana beliau menyamakan Perhimpunan ini dengan seseorang yang sedang melabur dalam perniagaan di mana seseorang harus bekerja keras untuk mendapatkan pulangan tiga kali ganda; begitu juga, beliau percaya bahawa jika semua orang bekerja lebih keras dalam Perhimpunan ini, dan dengan bimbingan Roh Kudus, ganjaran dari Tuhan akan berlipat kali ganda.
Selepas itu, satu video mengenai sejarah pertumbuhan kedua-dua paroki ditayangkan kepada peserta diikuti dengan taklimat oleh Pengerusi Jawatankuasa Utama, Jason Joenoi mengenai MPC 2026 dan ulasan mengenai persediaan menuju Perhimpunan Pastoral Paroki ini.
Peserta kemudian dibahagikan kepada empat keutamaan yang telah ditugaskan kepada mereka iaitu Gereja, Keluarga, Sosial, dan Ekologi. Selepas taklimat mengenai soalan/isu untuk perbincangan, setiap kumpulan kemudian dibahagikan semula kepada kumpulan mengikut bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, dan Bahasa Cina, kemudian masuk ke dalam kumpulan perbincangan kecil yang terdiri daripada 5-10 peserta untuk setiap bahasa.
Setiap kumpulan kecil diberikan satu atau dua topik/isu untuk dibincangkan dalam masa satu jam sebelum rehat untuk makan tengahari. Selepas itu, setiap kumpulan kecil membuat laporan/penemuan masing-masing dan direkodkan. Laporan kemudiannya disusun dan diringkaskan oleh pasukan Jawatankuasa Kecil yang berkaitan.
Ringkasan laporan kemudiannya dibentangkan oleh wakil Jawatankuasa Kecil dan menjadi kesimpulan kepada Perhimpunan sebelum menuju ke Misa penutup. Daripada semua pembentangan, dapat disimpulkan bahawa peserta telah bersungguh-sungguh dan fokus dalam perbincangan mereka dan berkongsi pandangan mereka yang sebenar, dan Jawatankuasa Kecil telah menerima ganjaran mereka ‘seratus kali ganda’.
Walaupun Perhimpunan Pastoral Paroki ini menandakan akhir proses di peringkat paroki, tugas Jawatankuasa Utama Paroki belum selesai. Laporan yang dikumpulkan dari Perhimpunan Pastoral Paroki masih perlu disusun seterusnya dihantar kepada Jawatankuasa Utama Keuskupan (dalam persediaan untuk mesyuarat seterusnya iaitu Perhimpunan Pastoral Keuskupan) dan kepada Imam Paroki, di mana terdapat keperluan, beberapa isu yang dibangkitkan harus diatasi di peringkat paroki.
Diterjemahkan oleh Priscilla Justin (Koordinasi SOCCOM SHC)