Peserta sedang membuat renungan peribadi
By Majlis Pastoral Paroki (MPP), Lahad Datu
May 15 2023
Lahad Datu – Seramai 262 peserta dari seluruh KKD termasuk dari beberapa stasi luar yang bernaung di bawah Paroki St Dominic, Lahad Datu, telah menyertai Perhimpunan Pastoral Paroki untuk mendengar tentang perjalanan menuju Malaysian Pastoral Convention (Konvensi Pastoral Malaysia 2026) pada 22 April 2023 lalu.
Seawal jam 7:00 pagi, ketlbaan dan pendaftaran para peserta disusuli dengan doa pembukaan oleh Sr Younne Happy Runsab. Seterusnya, penerangan singkat tentang tujuan perhimpunan ini disampaikan oleh Pengerusi Majlis Pastoral Paroki, Willie Binati.
Seterusnya, Paderi Paroki St Dominic, Fr Stanley W Matakim menyampaikan pengenalan tentang Dokumen Sukacita Injil.
Sesi perkongsian yang seterusnya telah disampaikan oleh ahli-ahli MPP yang telah ditugaskan dengan tajuk-tajuk yang telah disusun. Selepas setiap sesi, semua peserta diberi masa untuk membuat renungan peribadi dan membuat perkongsiaan merangkumi :-
1. Melihat diri masing-masing di dalam pelayanan mereka;
2. Apakah bentuk cabaran yang dihadapi untuk melayani atau dalam pelayanan mereka;
3. Apakah bisikan Roh Kudus kepada mereka agar berani untuk keluar dari zon keselesaan mereka untuk melayani umat maupun Gereja;
Sebelum rumusan dibuat, beberapa peserta diberi peluang untuk memberi perkongsian mereka. Selepas itu, sesi soal jawab diadakan untuk membantu para peserta memahami dengan jelas akan tanggungjawab mereka terutama sekali dalam mewartakan sukacita injil ini.
Paderi Paroki menerangkan kepada para peserta bahawa aktiviti seperti ini tidak berakhir pada hari tersebut sahaja kerana kesinambungan program akan diteruskan. Ini adalah untuk membantu para peserta dan para umat untuk lebih memahami mengenai dokumen-dokumen yang telah ditulis oleh Bapa Suci Fransiskus di mana ini adalah satu proses permulaan dan persediaan yang ekstensif, dibimbing oleh Tuhan.
Perhimpunan Pastoral Paroki diakhiri dengan doa dan bergambar beramai-ramai. – Dospo
Para peserta Perhimpunan Pastoral Paroki, Lahad Datu