Oleh SOCCOM Perayaan dan Kateketikal
TELUPID – Minggu Suci yang dirayakan oleh seluruh umat Katolik pada 24 Mac 2024 merupakan minggu terakhir dalam masa Prapaskah yang dimulai dengan Minggu Palma dan diakhiri dengan Sabtu Suci sebelum memasuki Minggu Paskah. Hari Minggu Palma (Mengenang Sengsara Tuhan) dirayakan dengan dua suasana yang berbeza. Di Gereja St Martin, Telupid, upacara pemberkatan daun palma diadakan di perkarangan dewan pastoral paroki dengan suasana yang meriah. Umat yang hadir ikut serta menyanyikan lagu pujian sambil melambai-lambaikan daun palma semasa perarakan menuju ke gereja. Kemudian, suasana meriah tersebut bertukar menjadi suasana sedih ketika masuk ke dalam gereja kerana dalam liturgi sabda, umat akan merenung penderitaan Yesus melalui kisah sengsara yang disampaikan.
Seterusnya, Triduum Paskah yang bermula dengan hari Khamis Putih (Mengenang Perjamuan Tuhan) merupakan peringatan perjamuan terakhir Yesus bersama murid-muridNya. Semasa Khamis Putih, seramai 12 orang umat dipilih untuk upacara pembasuhan kaki. Pembasuhan kaki yang dijalankan pada masa kini adalah simbolik kepada pelayanan yang penuh dengan kerendahan hati. Seperti mana Yesus yang membasuh kaki murid-muridNya, begitulah juga kita dituntut untuk melayani sesama dengan penuh kerendahan hati.
Jumaat Agung (Mengenangkan Sengsara Tuhan) merupakan hari kedua dalam Triduum Paskah. Umat Katolik merayakannya bagi mengenang peristiwa Yesus yang wafat di kayu salib. Setiap tahun, sudah menjadi kebiasaan bagi umat di paroki St Martin, Telupid berkumpul seawal pukul 6:00 pagi di kawasan gereja bagi menjalankan ibadat Jalan Salib. Selepas itu, ibadat Jumaat Agung dijalankan sebanyak dua kali pada sebelah petang bagi membolehkan lebih ramai umat dapat hadir bersama mengenangkan peristiwa Yesus yang mati di kayu salib bagi menebus dosa manusia.
Kemudian, Trihari Suci menuju Paskah diteruskan pada hari Sabtu. Setiap tahun, upacara penerimaan sakramen pasti akan diadakan di paroki St Martin pada malam Paskah. Pada tahun ini, seramai 200 orang penerima Sakramen melibatkan calon Inisiasi Kristian Dewasa (IKD) seramai 105 orang, Penerimaan Penuh dalam Persekutuan Gereja Katolik seramai 16 orang, Penguatan seramai 10 orang, Komuni Pertama dan Penguatan seramai 11 orang serta Persiapan Permandian Kanak-kanak seramai 58 orang. Persiapan penerimaan sakramen telah dibuat pada sebelah pagi termasuk upacara Efata, Penyerahan Kembali Syahadat serta Pengurapan Minyak katekumen disempurnakan oleh paderi paroki.
Keesokan harinya, gereja St Martin dipenuhi dengan kehadiran umat yang sangat ramai termasuk mereka yang telah menerima sakramen pada malam Paskah untuk bersama-sama merayakan hari kebangkitan Tuhan iaitu hari Paskah. “Apabila kita merenung kembali peristiwa yang kita lalui sepanjang Minggu Suci termasuk Triduum Paskah, kita akan lebih mengenali dan menghayati bahawa inilah karya penyelamatan dari Tuhan kepada kita semua.”
“Pada hari ini, kita mengatakan Kristus telah bangkit, tetapi bagaimana dengan hidup kita, adakah kita juga bangkit bersama Kristus dalam kehidupan kita? Oleh itu, untuk bangkit bersama Dia, kita harus mencari Kristus. Melalui firman Tuhan, kita akan menemui Kristus dalam kehidupan kita.”
“Maksud kebangkitan yang kita rayakan pada hari ini, harus juga dilihat di dalam setiap aspek kerohanian dan setiap sakramen yang telah kita terima. Jika ia ‘menghidupkan’ dan ‘membangkitkan’ kita, ia bermaksud kita memahami kenapa Kristus bangkit pada hari ini adalah untuk membawa kemenangan dan pengampunan serta membawa kita ke kehidupan yang kekal.” Begitulah perkongsian homili yang disampaikan oleh paderi semasa misa kudus hari raya Paskah yang dirayakan pada 31 Mac 2024.
Selesai misa kudus, acara diteruskan dengan sesi ucapan yang disampaikan oleh Pengerusi MPP, Albert Andau Paulus Andau. Beliau sempat berkongsi mengenai perjalanan ke arah Konvenyen Pastoral Malaysia 2026 kepada semua yang hadir. Paroki St Martin telah membuat satu deklarasi berkenaan dengan dokumen Laudato Si’ dan berharap agar semua umat dapat berjalan bersama dalam menjayakan apa jua yang telah dirancang oleh pihak gereja. Selain itu, beliau turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dalam menjayakan sambutan hari Paskah pada tahun ini.
Paderi paroki pula dalam ucapannya sekali lagi mengajak semua umat untuk bangkit bersama melalui pengorbanan yang dilakukan untuk melaksanakan kehendak Tuhan, bangkit untuk berpartisipasi dan melakukan sesuatu untuk iman, keluarga, komuniti dan gereja, bangkit dari mentaliti yang masih berada di takuk yang lama, bangkit untuk mewartakan Injil serta bangkit untuk bermurah hati untuk gereja.
Sesi bergambar bersama penerima sakramen diteruskan setelah sesi ucapan selesai. Kemudian, semua umat berkumpul di perkarangan dewan pastoral paroki untuk acara kesyukuran meraikan hari kebangkitan Tuhan bersama mereka yang telah menerima sakramen pada malam Paskah. Umat hadir dengan membawa pelbagai jenis juadah untuk dikongsikan bersama. Sepanjang acara kesyukuran, umat turut disajikan dengan pelbagai persembahan pentas daripada para penerima sakramen. Sambutan berakhir sekitar pukul 4.00 petang dan umat yang hadir bergotong-royong membersihkan kawasan sebelum pulang ke destinasi masing-masing. – Dospo