Oleh Alfred Tining (Soccom KB)
Sep 2 2022
KOTA BELUD – Lawatan Pastoral Uskup Agung John Wong ke Paroki St Edmund pada 7 Ogos merupakan perayaan Hari Paroki. Beliau dan rombongannya diraikan dengan jamuan makan bersama para perwakilan dari setiap chapel stasiluar paroki dan semua komiti yang ada di paroki ini. Beliau juga telah diberi taklimat tentang perkembangan/pembangunan dari setiap zon termasuklah dari pusat paroki.
Dalam homilinya pada Misa Hari Paroki itu, Uskup Agung mengajak umat merenung seraya bertanya bagaimana kita memperkayakan diri kita di hadapan Tuhan? Dan apakah kita sanggup kongsikan kekayaan kita kepada sesama yang memerlukan? Apakah kita sentiasa siap sedia akan kedatangan Tuhan? Kerana anak manusia (Yesus) datang pada masa yang kita tidak tahu (Luk 12:32-48).
Kepada 100 orang penerima Sakramen Penguatan dalam Misa itu, Uskup mengajak umat untuk terus menyokong mereka dalam doa agar mereka dapat memperkembangkan karunia Roh Kudus yang mereka terima itu. Juga dalam sesi ucapan, beliau mencabar terutama para belia untuk menyahut panggilan menjadi paderi atau sister.
Uskup Agung memuji para AJK kewangaan/MPP kerana sentiasa berusaha untuk mencari dana/kewangaan bagi menampung keperluan dan pembangunan paroki ini memandangkan kalau dari segi pendapatan iaitu koleksi mingguan, paroki ini tidak begitu memberansangkan berbanding paroki lain.
Paderi Paroki, Fr Ambrose dalam ucapannya mengajak umat untuk merenung tentang sejarah hidup St Edmund yang begitu setia kepada Kristus sehingga sanggup dibunuh. Beliau juga bersyukur kepada Tuhan dan berterima kasih kepada Uskup Agung John Wong kerana sudi meluangkan masa untuk bersama-sama dalam perayaan itu.
Terdahulu, ucapan daripada Pengerusi MPP Jerrel Soo mengucapkan terima kasih kepada uskup agung dan kedua-dua paderi yang melayani di Paroki Kota Belud kerana telah menyempurnakan upacara penerimaan Sakramen Penguatan kepada 100 penerima dan juga berterima kasih kepada semua AJK atas kerjasama dalam pelaksanaan program ini.
Selesai Misa, acara beralih ke dewan dengan pemotongan kek, satu untuk para penerima sakramen penguatan dan satu kek sebagai memperingati Hari paroki. Acara ditutup dengan doa oleh Uskup Agung John Wong.