Sr Dora Obod bergambar bersama belia selepas sesi Path Of Youth
Oleh Euseclara Suah
Dec 9 2022
INANAM – Belia St Catherine Inanam merayakan Kem Hari Orang Muda Sedunia pada 25-27 Nov di Dewan Paroki St Catherine.
Tema yang dipilih untuk program ini dipetik dari Injil Luk 1:39 “Maria bangkit dan langsung pergi,” sama dengan moto Bapa Suci Fransiskus untuk Hari Belia Sedunia yang akan diadakan di Lisbon, Portugal tahun hadapan.
Seramai 96 belia termasuk tim penganjur menghadiri kem itu dan menurut penganjur peserta yang paling tua berumur 45 tahun.
Program ini bertujuan untuk membangkitkan iman para belia yang semakin pudar, membawa mereka mengalami semula kegembiraan dan mengikuti teladan Bonda Maria yang setia serta menyahut panggilan Tuhan dengan segera.
Terdapat dua sesi yang disampaikan kepada belia iaitu ‘young people must go in haste to others, just like Mary’ oleh Fr Sylvester Wong dan Path of Youth (Christus Vivit) oleh Sr Dora Obod, FSIC.
Terdahulu, dalam sesi pertama, Fr Sylvester mengingatkan para belia tentang pesanan Bapa Suci Franciskus mengenai Hari Orang Muda Sedunia dan menurut paderi itu, Hari Orang Muda Sedunia ditukarkan dari Minggu Palma kepada Minggu Kristus Raja bagi mengingatkan siapa raja dalam hidup kita.
Fr Sylvester berkata kepada para belia, “Maria adalah contoh orang muda yang tidak membuang waktu untuk mencari perhatian atau persetujuan orang lain seperti yang sering terjadi. Ketika kita bergantung pada “tombol suka” di media sosial. Maria berangkat untuk menemukan “hubungan” yang paling tulus iaitu hubungan yang berasal dari perjumpaan, berbagi, cinta dan pelayanan.
“Adakah kita menyambut Yesus seperti Bonda Maria?” tanya Fr Sylvester lagi kepada belia sambal berpesan, “Tuhan mahu kita menjadi jambatan kepada semua orang kerana kita orang muda mempunyai tenaga untuk melakukan banyak perkara.”
Pelbagai bentuk kertas yang dihasilkan oleh belia semasa sesi Path of Youth
Sesi seterusnya “Path of youth (Christus Vivit) menekankan tentang masa muda belia dengan impian, keputusan, persahabatan dan komitmen.
Sr Dora sebelum memulakan sesinya, mengedarkan kertas dan pencil kepada semua peserta. Belia diberi masa 10 minit untuk melakukan apa sahaja dengan kertas yang diberikan.
Selepas masa tamat Sr Dora melihat kertas yang diedarkan mempunyai pelbagai bentuk dan berkata, “Masa muda adalah satu karunia. Semasa kamu lahir kamu adalah seperti kertas putih. Ketika kamu lahir ada dua perkara yang tidak boleh diubah iaitu jantina dan bangsa.
“Ketika kamu masih kecil kehidupan kamu ditentukan oleh orang lain seperti nama dan tempat kamu bersekolah tetapi, apabila kamu sudah mencapai usia untuk membuat keputusan sendiri jangan suruh orang lain tentukan hidup kamu atau memilih untuk kamu.
“Masa muda adalah masa untuk memikirkan apa yang kamu mahu dan pilih yang membuat kamu bahagia. Jadikan impian itu satu kenyataan dengan berani mengambil risiko dalam hidup,” kata Sr Dora.
“Siapa Yesus bagi kamu? Di mana tempat Yesus bagi kamu?” tanya Sr Dora dan mengatakan bahawa berdoa membina persahabatan dengan Yesus.
Di akhir sesinya, Sr Dora berpesan bahawa kita harus bertumbuh dengan pemikiran dan tindakan sesuai dengan usia kita.”
Sesi heart to heart adalah Lectio Devina. Belia dibawa berdoa melalui ayat Alkitab untuk membina hubungan dengan Tuhan, melihat dunia dengan mata Tuhan dan menerima Yesus dalam hidup.
Seorang peserta semasa ditemubual, Linah Roy berkata: “Malam perdamaian yang dikendalikan oleh Serena Wong berfokus kepada berdamai dengan diri sendiri kerana cabaran kehidupan yang membuat sikap panas baran, kurang sabar, mengumpat dan sebagainya menguasai hidup kita.”
Kem Hari Orang Muda Sedunia peringkat Paroki Inanam diakhiri dengan Misa Kudus Adven pertama oleh Fr Postinus Kurup.