Pembawa persembahan dari Filipino Group dan K3IKA memakai pakaian tradisi
Oleh Lawrance Domingo, Pengerusi Komiti Migran SHC,KK
Nov 2 2023
KOTA KINABALU – Komiti Migran SHC dengan Filipino Groups (SHCKFK, Blessed Trinity & SHCFilcom), kumpulan K3IKA dan umat Paroki Katedral Hati Kudus, Kota Kinabalu bersama-sama merayakan perayaan Hari Minggu Migran dan Pengungsi peringkat Paroki pada 1 Okt 2023 semasa Misa Kudus BM yang dipimpin oleh Fr Russel. Semasa Persembahan, semua pembawa persembahan dari Filipino Group dan K3IKA memakai pakaian tradisi masing-masing. Video pendek tentang migran ditayangkan sebelum berkat doa penutup Misa Kudus.
Selepas Misa Kudus, Fr Russel dan semua umat dijemput bersama-sama dengan para migran dalam jamuan makan dan aktiviti-aktiviti pentas di dalam dewan paroki.
Sebelum program dewan bermula, satu meja kaunter dibuka untuk penjualan migrant t-shirt berharga RM30.00 satu helai dan juga jualan tiket bertuah berharga RM2.00 sekeping. Lebih dari 30 hadiah seperti beras, minyak masak dan barang keperluan lain hasil sumbangan dari Filipino Groups, K3IKA dan individu untuk cabutan tiket bertuah tersebut. Hasil jualan t-shirt migran dan tiket bertuah ini adalah satu cara Komiti Migran mencari dana tambahan untuk aktivit-aktiviti migran yang akan dijalankan.
Dengan Kerjasama pengacara pada hari itu, Teddy, acara dewan dimulakan dengan ucapan alu- aluan dari pengerusi Komiti Migran, Lawrence Dominic, ucapan singkat dari Fr Russel dan seterusnya doa makan. Selain dari makanan secara ‘potluck’ disediakan oleh setiap kumpulan migran dengan masakan makanan tradisi mereka masing-masing, Komiti Migran juga telah menerima sumbangan ‘catering’ makanan dari Paroki.
Salah satu persembahan tarian tradisi
Semasa makan, umat dihiburkan dengan persembahan tarian tradisi, koir dan persembahan nyanyian solo dari Keluarga Katolik Toraja, Blessed Trinity, SHCFilcom, K3IKA dan SHCKFK diselang seli dengan cabutan tiket bertuah.
Walaupun perayaan Hari Minggu Migran dan Pengunsi Paroki disambut secara sederhana, namun berkat kerjasama dari semua pihak yang terlibat telah menjayakan sambutan perayaan ini. Sambutan perayaan berakhir pada jam 3.30 petang dengan doa penutup yang dipimpin oleh Penasihat Rohani Komiti Migran, Sr Anita James (FSIC).