Oleh An Richard (KUK Panui)
KENINGAU – Komuniti Umat Katolik (KUK) Panui mengadakan perayaan Pesta Kaamatan dan empat lagi perayaan yang lain pada 16 Jun lalu di Gereja St Yohanes Penginjil, Panui. Seramai 250 umat hadir dalam Misa Kudus bagi memeriahkan perayaan 5-dalam-1 itu.
Fr Kennedy Nakudah Killin merupakan selebran Misa Kudus pembukaan dan seterusnya perasmi perayaan 5-dalam-1 itu.
Selain Pesta Kaamatan, turut disambut pada waktu itu adalah Ulang Tahun Keuskupan (UTK) ke 31, pemberkatan benih padi, penghargaan AJKT KUK Panui sesi 2020-2023 serta sambutan Hari Bapa.
Pesta Kaamatan sememangnya menjadi sambutan setiap tahun dan dirayakan di dalam gereja bagi mengungkapkan kesyukuran atas hasil tuaian serta memohon berkat untuk benih yang akan disemai pada masa akan datang. Selain itu, untuk mengekalkan dan menghidupkan terus pesta Kaamatan di dalam gereja.
“Setiap kita diberikan sebiji benih. Benih itu merupakan perumpaan iman kita. Bagaimana benih iman yang disemaikan dalam kita? Adakah bertunas ataupn mati? Untuk memasuki kerajaan Tuhan, memerlukan hanya sekecil-kecil benih iman sahaja”, ujar Fr Kennedy dalam homilinya.
Sempena dengan ketibaan Salib Belia dan Ikon Bonda Maria di Keuskupan Keningau, Fr Kennedy menyeru semua umat khususnya belia untuk mengambil kesempatan melawat salib itu, berdoa dan merenung supaya dapat merasai mukjizat Tuhan kepada umatNya.
Sukaneka seperti pertandingan melastik berkumpulan, menghias sigar, pertandingan bola tampar, tarik tali, menata silih, manganit lugus, mongompuri parai, timbang takraw, batu seremban dan juga boling kelapa, merupakan pengisian dan telah menjadi aktiviti tahunan sebelum perayaan itu. Turut diadakan juga pertandingan masakan tradisi, yang mana umat dapat menunjukkan keunikan masakan tradisi dengan rasa dan cara masak yang tersendiri.
Fr Kennedy mengungkapkan perasaan terharunya melihat kesatuan umat di KUK Panui dalam kesukacitaan dan kegembiraan meraihkan perayaan meriah itu.
Sebelum perutusan, Fr Kennedy turut menjemput bapa-bapa untuk didoakan dan diberkati sempena dengan Hari Bapa.
Philip Kuni, selaku pengerusi KUK Panui mengungkapkan kesyukuran dan terima kasihnya atas kehadiran Fr Kennedy serta umat-umat yang juga turut hadir memeriahkan perayaan itu.
Sempena hari bapa juga, beliau mengucapkan Selamat Hari Bapa kepada semua bapa-bapa di KUK itu dan menggalakan agar umat memberikan penghargan kepada bapa masing-masing dan juga mendoakan bapa yang sudah dipanggil Tuhan agar mereka juga mendoakan kita yang masih berziarah di dunia.
Beliau turut meluahkan penghargaannya kepada KBK KUK Panui, Komuniti Kristian Dasar (KKD) naungan KUK Panui, para penderma dan semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan perayaan 5-dalam-1 itu.