Uskup Cornelius Piong, bersama Nancy Nelly (PMPP) dan Fr David Gasikol bergambar dengan Logo Pukat dan MPC
Oleh Melissa Floly
Jul 14 2023
KENINGAU – Pada 29 Jun lalu, Kuk Bonda Maria Ratu Perdamaian, Bariawa Tengah yang berada dalam naungan Zon Bulu Silou telah menyambut perayaan 3 dalam 1 iaitu Ulang Tahun Keuskupan ke-30(UTK-30), Pesta Kaamatan dan kesyukuran pelayan pembimbing rohani Katekis Stanislaus Podtung. Sambutan bermula dengan Misa Kudus yang dipimpin oleh Uskup Cornelius Piong dan dibantu oleh Fr David Gasikol.
Uskup Cornelius dalam homilinya berkata, selain daripada peningkatan kuantiti umat yang bertambah dari tahun ke tahun, kualiti iman kita sebagai umat Katolik perlu diutamakan. Ambil masa untuk mengenali Yesus secara peribadi melalui pengalaman iman kita bersama dalam hidup berkomuniti. Dengan mengenal dan mengasihi Dia kita akan melayani Tuhan dengan lebih sungguh.
Pengerusi MPP, Nancy Nelly mengucapkan tahniah kepada Kuk Bariawa Tengah yang telah siap membina sebuah dewan terbuka yang terletak bersebelahan dengan gereja dan berharap agar fasiliti ini akan digunakan sebagai wadah membangun dan memantapkan pertumbuhan iman umat di kuk ini. Beliau juga mengucapkan syabas kepada tim pelaksana sambutan 3 dalam 1 ini dan juga kepada Katekis Stanislaus Podtung yang turut diraikan dalam sambutan ini.
Katekis Stanislaus Podtung dalam ucapannya berasa terharu atas penghargaan umat zon Bulu Silou dan berterima kasih atas kerjasama yang jitu sepanjang beliau melayani sebagai pemimpin ibadat sabda di zon ini. Katekis yang berasal dari Kg Tigot, Keningau ini juga berterima kasih kepada Uskup Cornelius yang telah memberikan kepercayaan kepadanya untuk melayani di Zon ini sejak 4 tahun yang lalu. Beliau juga menerangkan bahawa komiti pendoa iaitu Legion of Mary (LOM) juga baru sahaja ditubuhkan dan sudah mula berdevosi kepada Bonda Maria dan beliau menyatakan kesyukuran atas perkembangan itu.
Uskup Cornelius juga berkata dalam ucapannya, untuk memastikan perkembangan iman umat yang berkesan. Umat perlu setia dalam doa dan penyembahan, dan turut serta dalam program pembentukan iman yang berterusan lebih-lebih lagi pada masa ini. Sumber rohani boleh diperoleh dengan mudah jika bergiat dalam tanggungjawab sosial sebagai umat Katolik. Jadikan gereja kita, sebuah gereja yang terbuka kepada umat, mesra alam dan apostolik, agar bukan bangunan sahaja yang tersergam indah tetapi juga umat kita akan semakin bertumbuh.
Jamuan kesyukuran diadakan di dewan terbuka selepas Misa Kudus dan para tetamu dihibur dengan pelbagai persembahan dari umat Zon Bulu Silou.
Persembahan tarian Sambut Tamu oleh belia Kuk Zon Bulu Silou