Oleh Lucy Jamini Francis (Dospo)
August 2 2022
SANDAKAN – Perayaan Ulang Tahun Penubuhan KKD St Benedict ke-15 telah diadakan di Dewan Gereja St Mark, Batu 12 pada 6 Jun 2022. Seramai 130 umat menghadiri perayaan ini yang dimulakan dengan Misa Kudus jam 6 petang yang diselebrankan oleh Fr Stephen Esguerra.
Dalam majlis jamuan kesyukuran ini, pelbagai persembahan pentas daripada keluarga KKD St Benedict sungguh meriah yang mana perjalanan awal aturcara jamuan, mereka membawa lagu bertajuk, “Hari Ini ku rasa bahagia”.
Pengerusi KKD St Benedict, Paulina Francis, dalam ucapannya, menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang hadir kerana memberi kepercayaan kepada KKD St Benedict untuk menganjurkan Sambutan Ulang Tahun KKD St Benedict kali ke-15. Beliau menyatakan penghargaan yang tidak terhingga di atas bimbingan Fr David A. Garaman sebagai Paderi Paroki Katedral St Mary, Sandakan dan pembantunya, Fr Stephen Esguerra dan juga di atas sokongan warga KKD St Benedict serta kerjasama yang ditunjukkan, sehingga perayaan tersebut berjaya dilaksanakan.
Teks ucapan daripada Paderi Paroki Katedral St Mary dan juga Uskup Julius Dusin Gitom yang tidak sempat hadir pada hari itu telah disampaikan oleh Fr Stephen. Mereka masing-masing merakamkan ucapan tahniah kepada KKD St Benedict yang telah berjaya melaksanakan perayaan itu dan terus bersatu sehingga kini 15 tahun sebagai KKD. Mereka berharap agar semangat kesatuan yang ditunjukkan akan berterusan dan berkekalan di samping terus kukuh melalui proses pertumbuhan dan perkembangan iman di dalam kehidupan.
Logo St Benedict
Perasmian logo KKD dijalankan dengan gimik iaitu pemotongan riben yang disempurnakan bersama oleh para tetamu kehormat dan jemputan khas. Logo KKD St Benedict adalah ilham Linus Sipat bersama AJK KKD St Benedict.
Semasa makan malam, acara penyampaian hadiah disampaikan kepada kanak-kanak yang terlibat dalam aktiviti membuat persembahan pentas serta pertandingan mewarna. AJK Pelaksana turut tidak ketinggalan untuk menghiburkan para hadirin dengan mempersembahkan nyanyian mereka dengan gaya ciptaan tersendiri tetapi penuh makna melalui sebuah lagu bertajuk, “Hidup ini adalah Kesempatan”. Para hadirin telah menyanyi bersama-sama mereka.
Sebanyak 42 hadiah cabutan tiket telah disediakan atas sumbangan umat-umat yang murah hati. Hadiah utama iaitu sebuah peti sejuk beku bernilai RM650 menjadi milik kepada Christo Boy Tan. Acara berakhir pada jam 11.00 malam dengan doa penutup oleh Fr Stephen.
Secara ringkasnya, maksud lambang-lambang pada logo adalah Salib Kristus melambangkan kemenangan Kristus, imej orang dan burung merpati melambangkan komuniti KKD St Benedict yang menyambut cinta kasih Tuhan, imej alkitab terbuka melambangkan dasar iman dan keterbukaan yang sepenuhnya terhadap Firman Tuhan dan nyalaan api melambangkan kehadiran Roh Kudus dalam pelayanan kehidupan seharian. Seterusnya warna hijau melambangkan sokongan komuniti KKD kepada sesama di dalam Kristus dan seterusnya warna kuning melambangkan sukacita.