Oleh Macshamus Bilcher ( SOCCOM )
SANDAKAN – Salib Belia dan Ikon Bonda Maria telah diserahkan kepada belia gereja St Mark, Sandakan setelah hampir 30 hari keberadaan Salib Belia dan Ikon Bonda Maria berada di Chapel St Petrus, Sungai Manila pada 19 Mei 2024. Rombongan belia dari gereja St Petrus memulakan perjalanan pada jam 8:00 pagi dan selamat tiba di gereja St Mark pada jam 8:45 pagi.
Penerimaan Salib Belia dan Ikon Bonda Maria didahului dengan Tarian Hedung yang dipersembahkan oleh belia St Mark. Setelah itu, Carnivalyn Ann Arbah sebagai wakil belia gereja St Mark menerima Salib Belia dan Ikon Bonda Maria daripada rombongan belia kapela St Petrus yang diketuai oleh Ajron Collin.
Pada hari tersebut, gereja Katolik merayakan pesta pentakosta. Berdasarkan homili Fr Simon Kontou, Paderi Paroki Katedral St Mary, Sandakan, pentakosta membawa maksud pencurahan Roh Kudus yang telah dicurahkan oleh Tuhan Yesus kepada ke semua para rasulnya. Semasa kita menerima sakramen penguatan, kita sekali lagi dicurahkan dengan kelimpahan kuasa Roh Kudus. Fr Simon Kontou juga mengajak semua belia khasnya di gereja St Mark, Sandakan untuk bergiat aktif dalam melayani dan menyertai semua aktiviti yang dianjurkan oleh Komiti Belia St Mark agar iman pelayanan dapat bertumbuh bersama sebagai satu gereja yang bersinodaliti.
Selepas Misa Kudus, semua belia dan umat dijemput hadir bersama di dewan serbaguna St Mark untuk acara bersama para belia. Acara bermula dengan doa pembukaan dan doa makan yang dipimpin oleh Sr Noemi Mejia selaku Koordinator Belia Keuskupan Sandakan. Setelah jamuan makan tengah hari, sesi diteruskan dengan aktiviti Sing Along yang diketuai oleh Paula Dennis. Lima lagu yang dibawa dalam Sing Along iaitu “Hari ini ku rasa bahagia”, “Api Kemuliaanmu”, “Di sukacitamu”, “Lebih dalam ku menyembah” dan “Sekali Yesus, Selamanya Yesus”.
Seterusnya, sesi Ice Breaking yang dijalankan oleh Nicklas Phuan dan Alizendra Paulivia yang dinamakan sebagai “Domba Yang Hilang”. Sesi diteruskan dengan permainan yang dijalankan oleh saudari Cherlena Hendry, Silarius Frans, Petrus Suban Kolah dan Carnivalyn Ann yang mana permainan yang diadakan ialah “Simon Says” dan “Bang – bang”. Sesi kemuncak adalah perkongsian daripada tiga orang belia, Doa Kerahiman Ilahi dan mengakhiri program dengan acara bergambar. – Dospo