Oleh Lily Akau
Dis 11 2020
TAHUN 2020 menggegarkan seluruh manusia di dunia dengan kemunculan suatu penyakit merbahaya dan mudah berjangkit iaitu coronavirus atau nama singkatannya COVID-19. Tanpa memilih mangsa tua atau muda, lelaki atau perempuan, kaya atau miskin dan ia bukan sahaja membunuh bahkan juga melumpuhkan kehidupan pelbagai sektor, ekonomi, pendidikan, politik dan termasuk keagamaan. Ramai masyarakat yang terkesan dengan kemunculan penyakit misteri ini di mana ada yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan lain.
Di dalam pelaksanaan gereja pula, kita sebagai Katolik telah kehilangan peluang untuk bertemu dengan umat yang lain, anak-anak yang biasanya mengikuti kelas Pertemuan Minggu Gembira tidak lagi dapat bersama malah dilarang oleh ibubapa untuk berjumpa kerana ketakutan dihinggapi oleh COVID-19 pembunuh ini. Gereja kita kelihatan sangat sepi.
Secara peribadi apabila memasuki Adven, saya berdoa dengan penuh pengharapan agar penyakit ini cepat berlalu sambil itu, bekerja keras untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19 ini. Terasa sebak di dada menjelang Krismas tidak lagi dapat menerima kunjungan para pewarta yang datang mewartakan kelahiran Yesus melalui karoling seperti tahun-tahun sebelum ini. Tidak lagi seperti dulu selepas Misa Kudus Krismas wajib berkumpul bersama komuniti lain berkongsi kegembiraan kelahiran Yesus atau yang kebiasaannya balik kampung merayakan hari yang mulia itu dengan saudara terdekat.
Namun begitu, kita percaya bahawa Tuhan tidak menutup mata melihat keresahan yang kita alami ini. Salah satunya, kita mengikuti Misa secara maya di channel Youtube milik pelbagai paroki dan keuskupan. Walaupun COVID-19 mengganas, Tuhan menganugerahkan pelbagai kecekapan dalam diri manusia di mana kita menemukan media yang baik untuk menyalurkan kerinduan kita berjumpa saudara seiman dan Tuhan sendiri, dalam Misa online.
Menjelang Krismas di masa sukar seperti ini, saya percaya Tuhan adalah kekuatan utama bagi semua orang yang menerima dan mempercayakan keselamatan jiwa melalui kelahiran Tuhan Yesus. Tentu saja bagi diri saya, penyerahan diri kepada Tuhan sempena Krismas ini tidak hanya melalui Misa secara maya, malah banyak lagi cara lain yang memungkin saya untuk berserah secara total kepadaNya seperti berdoa rosari, berpuasa dan mengadakan renungan peribadi.
Lily Akau adalah staf Catholic Sabah yang mengendali Bahagian Bahasa Malaysia dan Kadazan/Dusun.