Fr David A Garaman memberikan sesi kepada para pasangan
Oleh Patrick Michael dan Petrus Bernadus (FLM)
Nov 2 2023
TAWAU – Seramai 46 pasangan menyertai program Pengayaan dan Pembaharuan Janji Perkahwinan yang dianjurkan oleh Tim Pelayanan Keluarga (Family Life Ministry – FLM) Paroki Holy Trinity Tawau pada 28 Sept 2023 dengan tema “Pengayaan Perkahwinan ke arah Gereja yang lebih Sinodal”.
Program ini terbahagi kepada tiga sesi dan dimulakan dengan sesi pertama bertempat di bawah bangunan Gereja Holy Trinity yang disampaikan oleh Rektor Paroki Fr David A Garaman. Dalam perkongsiannya, beliau telah menyentuh tiga aspek iaitu tentang keluarga dan sinodaliti, peranan keluarga katolik dan gereja domestik.
Manakala dalam sesi kedua diadakan di sebelah petang iaitu Pembaharuan Janji Perkahwinan yang berlangsung di dalam gereja dalam Misa Kudus dan dipimpin oleh Fr David. Kemudian diikuti dengan lafaz pembaharuan janji perkahwinan oleh setiap pasangan di depan ahli keluarga dan rakan-rakan yang hadir pada hari tersebut.
Aktiviti terakhir iaitu sesi ketiga Agape Night bertempat di Four Season, Fajar Club dengan makan malam bersama para religius dan ahli keluarga masing-masing. Majlis makan malam itu diserikan dengan sesi bergambar bersama pasangan, persembahan nyanyian oleh beberapa peserta dan dua permainan untuk menceriakan lagi suasana pada malam itu. Tayangan video juga turut diselitkan semasa makan malam itu dengan tayangan nostalgia gambar perkahwinan dan gambar terbaru setiap pasangan yang terlibat.
Pada malam itu juga, dua hadiah penghargaan iaitu Anugerah Pasangan Paling Muda (8 bulan) diberikan kepada pasangan Antoni Rofinus dan Annabel Alexius dan Anugerah Pasangan Paling Lama (48 tahun) iaitu pasangan Melvin Lajanti dan Linda Bansil.
Program diakhiri dengan doa penutup oleh Fr David. – Dospo