Umat Katolik China yang menghadiri Misa Rabu Abu di salah satu gereja naungan kerajaan di Beijing. (Greg Baker/AFP)
March 8 2023
HENAN, China – Pihak berkuasa di wilayah tengah China meminta semua penganut agama untuk mendaftar dalam talian bagi kelulusan menghadiri semua aktiviti agama di mana-mana tempat beribadat, lapor sebuah kumpulan hak asasi.
Pihak pentadbiran di Wilayah Henan baru-baru ini mengeluarkan surat pekeliling untuk menguatkuasakan peraturan yang mengharuskan tempahan awal dan kelulusan dari jabatan agama wilayah bagi sesiapa yang mahu menghadiri aktiviti di gereja, masjid, atau tokong Buddha, lapor ChinaAid pada 6 Mac.
Para penganut agama harus membuat tempahan secara dalam talian dan temujanji melalui aplikasi ‘Smart Religion’ dan mereka harus memilih tempat yang akan dihadiri aktiviti agama.
Para pemohon harus melengkapkan maklumat peribadi seperti nama, nombor telefon, nombor pengenalan diri, alamat tempat tinggal, pekerjaan, tarikh lahir sebelum mereka boleh membuat tempahan.
Aplikasi tersebut yang dibangunkan oleh Komisi Hal Ehwal Agama dan Etnik Wilayah Henan tidak membenarkan penggunaan perkataan berunsur agama seperti tokong, masjid, Kristianiti dan Katolik
Wilayah Henan adalah wilayah ketiga paling padat penduduknya dan juga salah satu wilayah yang paling besar komuniti Kristian di China. Tujuh juta dari 98 juta penduduknya adalah Kristian, menurut data rasmi. Majoriti dari jumlah Kristian ini adalah Protestant yang sebahagian besar menganjurkan akviti agama di rumah-gereja di kawasan luarbandar wilayah tersebut.
Bagi golongan warga emas yang tidak faham menggunakan aplikasi telefon bimbit tersebut, pihak jabatan menjelaskan yang mereka akan membantu golongan warga emas unutk membuat tempahan dan temujanji.
ChinaAid melaporkan sejak peraturan tersebut dikuatkuasakan, bilangan umat Kristian yang menghadiri aktiviti agama telah jatuh.
Umat yang ditemui semasa ibadat Minggu di Gereja di bandar Zhengzhou memberitahu China Christian Daily bahawa mereka diingatkan untuk tidak mengambil gambar, video and menulis tentang ibadat tersebut di ruangmaya mereka. Mereka juga menyatakan yang para hadirin yang mengikuti ibadat duduk berjauhan, lelaki dan wanita juga duduk berasingan.
Laporan media menyatakan bahawa aplikasi ‘Smart Religion’ yang dilancarkan pertama kali pada bulan Ogos lalu, sebulan selepas Kementerian Hal Ehwal Etnik dan Agama China mengadakan symposium berkenaan pembangunan platfom ‘data besar’ pengurusan agama di Henan. Sejak itu aplikasi tersebut telah diperkenalkan secara meluas di wilayah tersebut. Idea tersebut dipercayai adalah ilham oleh pusat Pentadbiran Negara bagi Hal Ehwal Agama, sebuah badan induk oleh Parti Komunis China yang mengurus hal-hal berkaitan agama di negara China.
Kumpulan hak-hak asasi menyatakan cara tadbir tersebut adalah salah satu kaedah oleh sistem regim China untuk mengawal dan memerhati badan-badan agama dan segala aktiviti berkaitan, walaupun pihak regim mewar-warkan yang langkah tersebut bertujuan melindungi hak-hak orang yang beragama.
Pihak berkuasa negara komunis tersebut bertujuan mahu mengawal secara ketat semua agama dengan cara yang komprehensif untuk membuatkan penganut agama mengikuti dan melaksanakan ideologi-ideologi parti dan matlamat politik, lapor ChinaAid. Negara China secara rasminya adalah negara ateis. Walau bagaimanapun, ia menerima status perundangan lima anutan agama – Buddha, Taois, Islam, Katolik dan Protestan. – UCA News