Sesi penelitian Sabda Allah oleh belia, Fr Saimon William bersama mereka pada 27 Sep
Oleh Fr Joshua Liew
Okt 1 2020
KOTA KINABALU – Seramai 35 belia komuniti Neocatechumenate dari paroki St Paul Dontozidon, St Joseph Papar dan Gereja St Thomas Kepayan telah mengambil bahagian dalam Scrutatio pada 27 Sep yang lalu di mana mereka membuat penelitian Alkitab secara mendalam. Ini adalah Scrutatio yang pertama semenjak gereja dibenarkan buka semula untuk perjumpaan dan aktiviti rohani perkumpulan.
Petikan Alkitab yang ditelitikan adalah Injil hari Ahad Minggu Biasa ke-27. Scrutatio bermula dengan pewartaan Injil, di mana Injil dinyanyikan dan diberikan penerangan kepada para belia. Petikan Injil terus diteliti secara mendalam selama satu jam.
Kemudian mereka berkongsi pengalaman mereka semasa membuat penelitian Sabda serta bagaimana ia menyentuh kehidupan mereka. Fr Paul turut memberikan homili dan dorongan kepada mereka. Scrutatio diakhiri dengan ibadat sore dan adorasi kepada Sakramen Maha Kudus.
Selain Fr Paul, turut hadir untuk mengiringi para belia dalam Scrutatio adalah Fr Saimon William dan Fr Joshua Liew, serta para katekis komuniti paroki Katedral Hati Kudus, St Paul, dan St Thomas.
Scrutatio telah dimulakan bagi belia komuniti di keuskupan agung sejak April 2019 bagi menyahut pernyataan Bapa Suci Fransiskus yang telah menetapkan minggu biasa ke-3 sebagai Minggu Sabda Allah.
Bapa Suci mengundang umat Katolik di seluruh dunia untuk menghargai, mencintai, dan memberi kesaksian mereka yang setia kepada Tuhan dan sabdaNya.
Pada mulanya, Scrutatio diadakan setiap bulan secara besar-besaran di dewan paroki Hati Kudus, di mana semua belia dari komuniti Neocatechumenate Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia telah turut serta. Namun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, perjumpaan Scrutatio terpaksa ditangguhkan.
Dengan kebenaran untuk menyambung semula aktiviti perkumpulan di dalam gereja, perjumpaan Scrutatio kali ini diadakan semula dalam skala yang kecil. Ini untuk memastikan semua SOP diperhatikan dengan teliti seperti penjarakan sosial dan pengelakan berkumpul secara beramai-ramai.
Manakala para belia dari komuniti paroki Hati Kudus dan Stella Maris telah mengadakan Scrutatio mereka pada Ahad sebelumnya.
Penelitian Alkitab semasa Scrutatio membantu para belia mengenali dengan lebih mendalam serta menghargai dan mencintai Sabda Allah. Disebabkan pendemik ini, kepentingan Sabda Allah menjadi lebih jelas.
Menurut Fr Paul, dia bersetuju sepenuhnya dengan kenyataan Bapa Suci yang berkata membaca Alkitab dan berdoa dengannya adalah “vaksin” terbaik bagi pelbagai “pandemik” zaman sekarang yang mempengaruhi dan menjejaskan kehidupan rohani seseorang. Bapa Suci membuat rujukan itu di Vatikan semasa perjumpaan dengan anggota Persekutuan Alkitab Katolik pada April 2019.