Oleh Juanis Markus
TATAL, Keningau – Pembimbing rohani Kerasulan Devosi Kerahiman Ilahi (KDKI), Fr Bede Morti berbangga kerana kerasulan itu memiliki ramai pendevosi Kerahiman Ilahi dalam kalangan belia.
Hal ini diungkapkan oleh paderi itu semasa rekoleksi tahunan Kerasulan Devosi Kerahiman Ilahi peringkat Keuskupan Keningau pada Dis 13-15 2024 di Rumah Retret Keuskupan Keningau, Tatal.
Lebih 400 pendevosi Kerahiman Ilahi menyertai rekoleksi yang diisi dengan tayangan filem “St Faustina Love and Mercy”, perkongsian iman, meditasi dengan alam, Adorasi kepada Sakramen Mahakudus, Sakramen Pengakuan dan Misa Kudus.
Fr Bede Morti Lamutan, pembimbing rohani bagi KDKI semasa menyampaikan homili semasa Misa penutup mengucapkan tahniah dan berterima kasih kepada semua ahli KDKI yang menyertai rekoleksi tersebut.
“Kerahiman atau belas kasihan Tuhan adalah rahmat yang membolehkan kita berdamai dengan Tuhan. Belas kasihan Tuhan ini kita boleh rasai terutamanya semasa melakukan Sakramen Pengakuan.
Oleh sebab itu, Fr Bede menyeru para peserta agar melakukan Pengakuan apabila ada kesempatan khususnya pada musim Adven, Pra-Paskah atau semasa perayaan-perayaan besar Gereja.
Semasa Misa Penutup rekoleksi tersebut, turut diadakan pelancaran logo rasmi Kerasulan Devosi Kerahiman Ilahi bagi Keuskupan Keningau.
“Logo ini ialah hasil nukilan para belia sekali gus menunjukkan ramai belia terpanggil untuk menjadi seorang pendoa Kerahiman Ilahi. Ini membuatkan saya sangat bersyukur dan gembira,” kata Fr Bede. – Herald Malaysia