Rekoleksi untuk anggota Kekitaan FM pada 2 Oktober
Oleh Sr Bibianah Densia, FSP
16 Okt 2021
KENINGAU – Sempena sambutan ulang tahun pertama Radio Online KekitaanFM (KFM) Keuskupan Keningau pada 3 Okt 2021, pelbagai aktiviti diadakan oleh anggota-anggota KekitaanFM.
Kegiatan rohani adalah sebahagian yang penting dari persiapan itu yang dilakukan melalui rangkaian doa triduum jam 7.00 setiap malam mulai dari 28 – 30 Sept 2021 di mana pengisiannya adalah Doa Rosari yang dipimpin oleh Fr Bonaventure Unting pada hari pertama; Doa Kerahiman Ilahi pada hari kedua pimpinan Fr David Gasikol dan disusuli oleh Adorasi Mahakudus pada hari ketiga yang dipimpin oleh Uskup Cornelius Piong.
Pada 2 Okt, menjelang ulang tahun pertama KFM, Radio Online hanya bersiaran di sebelah pagi sahaja untuk membolehkan para anggota KFM seramai 20 orang untuk mengikuti rekoleksi di sebelah petang.
Dalam rekoleksi setengah hari itu, tiga tetamu jemputan iaitu Sr Bibianah Densia, fsp, Fr Nicholas Stephen dan Kat John Lainsin masing-masing telah mengongsikan renungan iman mereka.
Sr Bibianah dalam renungannya menekankan peranan penting yang perlu dilakukan sebagai seorang Kristian yang telah dibaptis untuk menjadi garam dan terang dunia khasnya dalam bidang komunikasi.
Fr Nicholas pula membicarakan tentang dimensi etika dalam komunikasi “untuk menjadi mulut dan telinga gereja”.
Perkongsian daripada Kat John Lainsin yang membahaskan tentang kriteria penting yang perlu dipertimbangkan dalam pemilihan calon apabila membuat jemputan sebagai tetamu khas untuk Radio Online KFM itu.
Selain persiapan rohani, staf KFM juga telah mengadakan projek pencarian dana iaitu menjual tiket bertuah sejak bulan Ogos 2021 lagi. Mereka juga menyediakan hadiah yang menarik bagi para pemenang cabutan tiket bertuah itu.
Hasil daripada jualan tiket tersebut digunakan untuk menaik taraf Radio Online KekitaanFM selain kegunaan pembinaan/Misi Gereja dan untuk pusat pembentukan St Joseph di Tatal.
Dalam kesempatan ini, KFM mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua penaja dan penyumbang hadiah untuk cabutan tiket bertuah itu.
Sebagai kesyukuran kepada Tuhan dan berkatNya di atas KekitaanFM pada ulang tahun pertamanya ini, Uskup Cornelius memimpin perayaan Ekaristi jam 4.00 petang bertempat di Katedral St Francis Xavier, Keningau. Ekaristi dirayakan bersama dengan Fr Clement Abel dan Fr David Gasikol.
Uskup dalam homilinya menegaskan betapa pentingnya untuk menjalin hubungan yang akrab dengan Yesus, alasan keberadaan kita, sumber harapan dan kekuatan kita dalam melakukan misi.
Dalam Misa itu seramai empat orang baharu diterima secara rasmi dan diutus sebagai “nabi kecil” untuk menjadi pembawa berita baik kepada semua orang melalui siaran Radio Online KFM. Kakitangan yang lain (DJ, juruteknik dan ahli teknik akustik) juga memperbaharui komitmen mereka untuk melayani dengan setia dan diutus untuk meneruskan misi mereka di KFM.
Kakitangan KFM memperbaharui komitmen pelayanan pada Misa di KSFX
Selepas perayaan Ekaristi jamuan makan malam disediakan di dewan paroki yang kemudiannya dimeriahkan dengan pelbagai persembahan Konsert yang disiarkan secara maya.
Acara ini yang dinanti-nantikan oleh para peminat KFM! Konsert yang disiarkan secara langsung melalui facebook KekitaanFM itu adalah pujian dan kesyukuran kepada Tuhan atas berkatNya sejak perasmian Radio Online KFM oleh uskup setahun yang lalu. Antara artis terkenal yang dijemput khas untuk memeriahkan ulang tahun pertama KFM ialah Rey Kimara, Rosario Bianis, Rich Estranged, Ferona Paimin, Rushdy Kudy, Erney Leonard Alai dan Elica Paujin.
Tidak ketinggalan untuk disematkan dalam sejarah ini ialah kerjasama dan koordinasi diantara mereka yang terlibat untuk menjayakan konsert secara maya itu: kakitangan KFM, para artis, Millenium Sound production dan semua yang telah bekerja keras di belakang tabir. Kesemua mereka layak diberi penghargaan tinggi di atas semangat kegigihan dan dedikasi dalam menjalankan tanggungjawab.
Penonton dan pendengar di rumah, selain dihiburkan oleh tujuh orang penyanyi berbakat yang membawakan paduan lagu-lagu rohani dan pop, pendengar juga didorong untuk memberi sokongan dan sumbangan kepada Radio Online KekitaanFM.
Tujuh artis jemputan ke Konsert Virtual KFM
Terdahulu itu, Nancy Joneh, salah seorang penyampai KFM merangkap ketua majlis pastoral paroki Keuskupan Keningau, memberikan penjelasan ringkas mengenai tujuan mencari dana melalui konsert itu dan memotivasikan para penonton agar memberi derma dengan murah hati.
Dalam usaha untuk menarik kemurahan hati penonton, KFM menetapkan sasaran sebanyak RM10,000 untuk dikumpulkan melalui konsert maya dengan hastage “TheRoadToRM10K”. Dan untuk menarik dan mengekalkan perhatian para penonton di rumah, pengacara pada malam itu menjanjikan bonus yang menarik pada akhir konsert, iaitu sebuah lagu hasil ciptaan Uskup Cornelius jika sasaran jumlah itu berjaya dicapai. Sekiranya jumlah yang dikumpulkan kurang dari jumlah yang disasarkan, Fr David Gasikol akan menyanyikan sebuah lagu.
Hasilnya sungguh luar biasa! Mereka berjaya mengumpulkan tiga kali ganda daripada sasaran yang ditetapkan. Oleh kerana itu, Uskup Cornelius dan Fr David masing-masing telah membawakan sebuah lagu.
Uskup Cornelius Piong semasa Pembukaan Konsert Virtual KFM pada 3 Okt
Sebagai daya tarikan tambahan para penonton dalam konsert maya itu ialah cabutan tiket bertuah yang telah diselang-selikan di antara persembahan dari para artis.
Sewaktu persembahan konsert, empat pusingan cabutan tiket bertuah telah dibuat. Pada pusingan pertama, Fr Bonaventure mencabut 10 tiket, Fr David Gasikol mencabut 10 tiket bertuah dalam pusingan kedua dan Fr Clement Abel mencabut 10 tiket bertuah lagi dalam pusingan ketiga. Kesemua 30 tiket yang dicabut itu merupakan pemenang hadiah saguhati.
Sementara dalam pusingan keempat, Uskup Cornelius mencabut sebanyak 11 lagi tiket untuk hadiah utama. Mereka yang bernasib baik menerima motosikal sebagai hadiah pertama, peti sejuk untuk hadiah kedua dan Televisyen Pintar untuk hadiah ketiga. Selebihnya adalah hadiah-hadiah saguhati berupa barangan elektrik.
Cabutan seterusnya akan diadakan pada 26 Dis 2021 sempena perayaan Ekaristi penutupan untuk tahun Santo Joseph bertempat di Nulu Sosopon. Oleh itu, semua yang telah membeli tiket bertuah dinasihatkan menyimpan tiket-tiket tersebut kerana mereka berpotensi menjadi pemenang dalam cabutan bertuah itu nanti.
Oleh sebab sekatan SOP yang ketat, hanya sedikit sahaja yang hadir bersemuka dalam konsert yang berlangsung di dewan paroki pada hari ulang tahun pertama KFM itu. Namun sungguh menakjubkan, jumlah penonton skrin dalam talian mencecah dua ribu orang dari pelbagai lokasi di negeri sendiri malah di negara lain seperti Indonesia, Singapura, Australia, New Zealand, UK dan lain-lain lagi.
Mengingati peribahasa, “kehidupan hanya dapat difahami secara terbalik; tetapi ia mesti dijalani ke hadapan” (life can only be understood backwards; but it must be lived forwards). Ianya menyiratkan pentingnya merenungkan masa lalu untuk memahami apa dan di mana kita pada hari ini bahkan ketika kita bergerak maju dalam setiap usaha yang dilakukan.
Seperti yang telah berlaku, pandemik yang melanda seluruh dunia telah membawa banyak cabaran. Bagi Keuskupan Keningau pengalaman sulit itu telah menjadi titik tolak dalam kehidupan menggereja. Ini kerana disebalik segala kesulitan yang telah dilalui berikutan penutupan dan penyekatan “lockdown” akibat krisis Covid-19 sebenarnya terdapat berkat yang membawa kepada kewujudan/kelahiran Radio Online KekitaanFM
Menurut perkataan salah seorang peneroka KFM, John Lainsin, keinginan dan harapan untuk memiliki sebuah Stesen Radio Keuskupan sebenarnya telah diidam-idamkan jauh lebih lama sebelum kehadiran wabak pandemik itu. Namun Tuhan menyediakan dalam waktuNya sendiri. Dan syukur kepada Tuhan kerana telah terus membimbing dan menggerakkan hati beberapa pemimpin Gereja seperti uskup sendiri, Didiroy Joney dan semua yang lainnya dengan peka membaca dan menafsirkan tanda-tanda zaman dengan betul. Dengan kata lain, krisis pandemik merupakan kesempatan bagi Keuskupan Keningau untuk menemukan cara dan saluran baru untuk menjangkau umat, dengan menggunakan alat yang paling berkuasa di media digital dan sosial untuk penginjilan.
Satu tahun telah berlalu dengan sangat cepat. Syukur kepada Tuhan untuk berkat melimpah yang Dia telah anugerahkan dan sempurnakan melalui KFM! Segala program KFM dalam pelbagai segmen dan topiknya dari segi kerohanian seperti mendengar dan merenung Firman Tuhan dan apa sahaja yang berkaitan dengan gereja dan pembangunan iman umat, yang disajikan dalam pelbagai bahasa (Bahasa Malaysia, Inggeris dan dialek tempatan seperti Kadazandusun dan Murut) biasanya disambut baik oleh penonton dan KFM pastinya merupakan salah satu saluran kegemaran mereka.
Memang, sejak penubuhan KFM setahun yang lalu, ia benar-benar menjadi saluran berkat Tuhan bukan hanya kepada umat di Keuskupan Keningau tetapi juga kepada semua orang di mana-mana sahaja di dunia tanpa sempadan ini. Berbagai kesaksian dari para pendengar membuktikan hal ini.
Tahniah kepada Radio Online KekitaanFM di atas pencapaiannya! Kudos kepada semua kakitangan KFM atas komitmen mereka yang tidak tergoyahkan dalam Misi! Semoga Tuhan terus memberkati Radio Online KekitaanFM agar terus maju, mendekatkan seluruh umat manusia secara maya. Semuanya untuk Kemuliaan Tuhan!