Fr Christopher Ireneus membaptis salah satu kanak-kanak baptisan
Oleh SOCCOM Katekatikal St Martin,Telupid
May 22 2023
TELUPID – Pada 24 April lalu, gereja St Martin telah mengadakan pembaptisan bayi dan kanak-kanak yang diupacarakan oleh paderi paroki, Fr Christopher Ireneus. Seramai 94 orang bayi dan kanak-kanak telah dibaptis pada hari itu.
Komiti Katekatikal St Martin telah membantu dalam pelaksanaan upacara ini agar perjalanan lebih teratur dan selesai mengikut masa yang ditetapkan. Pendaftaran dibuat bagi memastikan kehadiran mengikut borang yang sudah dihantar. Pendaftaran bermula pada jam 8.00 pagi, disusuli dengan Misa Kudus serta upacara pembaptisan pada jam 9.00 pagi dan selesai sebelum jam 12.30 tengahari. Syukur dan puji Tuhan kerana upacara pembaptisan ini berjalan dengan baik.
Dalam homili Fr Christopher, sebelum memulakan upacara pembaptisan ada beberapa amanat tentang tanggungjawab ibu bapa dan para penanggung yang perlu di renung, dipikul dan dilakukan. Sebagai ibu bapa kepada semua anak-anak yang dibaptis, mereka bertanggung jawab penuh untuk menanam dan mengembangkan iman anak-anak mereka. Anak-anak yang dibaptis belum memahami tentang pembaptisan tetapi ibu bapa yang memainkan peranan untuk memastikan anak-anak kekal dalam iman mereka.
Ibu bapa harus membawa mereka ke gereja supaya anak-anak kenal dengan setiap yang ada dalam gereja dan kenal komuniti mereka. Demikian juga penanggung, akan terus bersama-sama membantu ibu bapa mendorong anak-anak yang dibaptis untuk terus bertumbuh dalam iman mereka.
“Biarkan anak-anak datang ke gereja, mereka adalah anak-anak Tuhan. Suara dan tangisan mereka adalah suara anak-anak Tuhan. Yang penting, ibu bapa kawal pergerakan mereka terutama yang boleh membahayakan keselamatan mereka. Oleh itu, jangan segan-segan bawa anak ke gereja untuk sembahyang bersama”, kata paderi.
Pada malam Paskah, gereja St Martin telah menyaksikan baptisan baru seramai 87 orang, 23 orang penerimaan dari denominasi lain dan hari ini telah menyaksikan baptisan anak-anak seramai 94 orang. Mereka semua telah menjadi satu melalui Sakramen Pembaptisan.