
Oleh Euseclara Suah
“TAK KENALl! Mahu Kenal! Tak cinta! Mahu cinta! Tak layan! Mahu layan! Tak rindu! Mahu rindu! Tak peduli! Mahu peduli! Tak berkat! Mahu berkat! Mahu Bapa! Mahu Putera! Mahu Roh Kudus! Mahu keluarga! Mahu Gereja Katolik! Mahu masyarakat! Mahu ekologi! Amen, Amen, Amen!” laung Kardinal Sebastian Francis bersama para delegasi Malaysian Catholic Youth Day (MCYD) mengakhiri homilinya dalam Misa Kudus Pelancaran Perjalanan SALIB pada petang 3 Apr 2025 di Katedral Hati Kudus.
Pelancaran Perjalanan SALIB pada hari itu dibahagikan kepada empat bahagian iaitu Pemberkatan meriah Salib, Penghormatan Salib, Misa Kudus dan Pengutusan Salib kepada para umat ke setiap Keuskupan.
Perjalanan SALIB itu merupakan persiapan menuju Malaysia Pastoral Convention (MPC) 2026. Lebih dari 1000 delegasi daripada sembilan keuskupan di Malaysia serta delegasi daripada beberapa negara luar seperti Thailand, Brunei Darussalam, Timor Leste, dan Macau menyaksikan upacara Pemberkatan meriah SALIB.
Upacara bermula dengan video perkongsian daripada para uskup diikuti dengan perarakan masuk sembilan salib yang dibawa oleh wakil keuskupan masing-masing diiringi lagu khas yang dicipta dan digubah bertajuk ‘Bangkitlah’.
Upacara pemberkatan itu dipimpin oleh Uskup Agung Simon Poh, Keuskupan Agung Kuching bersama dengan Kardinal Sebastian Francis, Keuskupan Pulau Pinang, Uskup Agung Julian Leow, Keuskupan Agung Kuala Lumpur, Uskup Bernard Paul, Keuskupan Melaka-Johor, Uskup Joseph Hii, Keuskupan Sibu, Uskup Richard Ng, Keuskupan Miri, Uskup Agung John Wong, Keuskupan Kota Kinabalu, Uskup Cornelius Piong, Keuskupan Keningau dan Uskup Julius Dusin Gitom, Keuskupan Sandakan.

Selepas pemberkatan meriah salib, upacara diteruskan dengan penghormatan salib oleh semua uskup, para paderi, religius, para delegasi dan juga para penganjur MCYD.
Dalam Misa Kudus pelancaran perjalanan SALIB, Kardinal Sebastian berkata bahawa mereka, para delegasi yang hadir pada hari itu memainkan peranan sebagai saksi kebenaran Yesus dalam program MCYD dan diutus dengan satu misi yang universal dan kudus.
Kardinal itu juga membawa mereka melihat pada kayu SALIB dan merenung bersama misi Yesus; kasih, iman, penyelamatan, harapan dan kehidupan untuk dikongsi bersama ramai orang.
“Hari ini kita akan melancarkan atau memulakan Perjalanan SALIB yang akan berlangsung selama 18 bulan bermula dari MCYD ini sehingga September 2026 di mana Malaysian Pastoral Convention akan berlaku. Dan kami telah mengamanahkan tanggungjawab ini kepada orang muda Katolik untuk membawa salib ini ke semua sembilan keuskupan di Malaysia. Tuhan menyertai kamu; Roh Kudus berada dalam diri kamu semasa menjalankan misi ini,” kata Kardinal Sebastian.
Dia juga mengingatkan bahawa misi mereka dalam bentuk salib tidak boleh tinggal dalam satu tempat sahaja, ia harus bergerak, dikongsi serta menjangkau seramai dan sejauh yang boleh untuk membangun komuniti, memperkasa keluarga, memperkaya nilai kemasyaratan dan meningkatkan kesedaran ekologi.
“Kesemua ini, komuniti, keluarga, masyarakat dan ekologi merupakan anugerah yang istimewa daripada Tuhan yang dinyatakan kepada mereka dalam misi Kristus.”
Di samping itu, Kardinal turut menggalakkan para delegasi MCYD untuk bersaksi, berkongsi dan memperkenalkan kisah dan pengalaman yang mereka alami dalam program itu kepada komuniti mereka dengan sukacita, kerahiman dan harapan yang membawa terang.
Pelancaran Perjalanan SALIB itu merupakan sebahagian dalam program MCYD yang dianjurkan oleh Malaysian Catholic Youth Ministers Committee (MCYMC) berlangsung selama enam hari, pada 31 Mar – 5 Apr 2025.
Tema bagi program itu adalah “The Catholic Church in Malaysia coming together as Clergy, Religious, and Laity to Celebrate, Listen and Walk in the light of the Lord. In His Light, Christ Enables the Young to Recognise, Interpret and Choose Him.” (Isaiah 2:2-5) (Christus Vivit 236-237).