
Oleh Gabriel Singi
BUNDU TUHAN – 19 Jan 2025 merupakan satu tarikh bersejarah dan bermakna bagi Gereja St Pius X di mana logo baharu bagi gereja itu telah dilancarkan oleh Paderi Paroki, Fr Federick Ben Raymond sejurus selepas Misa Kudus.
Mengulas tentang logo itu, Fr Federick memberitahu bahawa selama ini Gereja St Pius X tidak mempunyai logo rasmi. Maka dengan itu, logo baharu yang dilancarkan itu akan menjadi logo yang digunapakai oleh paroki itu secara rasmi.
Untuk memperolehi logo tersebut, satu pertandingan mencipta logo telah diadakan pada bulan Oktober sehingga November 2024 yang dikendalikan oleh Komiti Pendidikan dan dipengerusikan oleh Penny Pius. Sambutan terhadap penrtandingan merekacipta logo itu sangat menggalakan dan mendapat penyertaan daripada seluruh Paroki Bundu Tuhan.
AJK penilai telah membuat tapisan dan sebanyak 17 logo telah dinilai di peringkat akhir. Penilaian akhir telah dibuat oleh AJK yang terdiri daripada Gabriel Singi, Neil Armstrong Jueidy, Penny Pius dan diketuai oleh Fr Federick. Dua logo telah dipilih sebagai pemenang yang memenuhi kriteria pemilihan logo iaitu logo ciptaan Gloria Alphonsa Jueidy dan Lynette Christine Justin. Kedua-dua logo itu diadun semula dengan menggabungkan bentuk dan simbol-simbol serta tafsriran simbol yang bersesuaian. Pembentukan gabungan logo ini dilakukan oleh Neil Armstrong dan Fr Federick.

Dengan menggunakan motto Santo Pius X iaitu OMNIA INSTAURARE IN CHRISTO, logo itu menggunakan beberapa simbol lain yang mempunyai tafsiran masing-masing yang berkaitan dengan santo penaung iaitu Santo Pius dan fizikal serta umat Paroki Bundu Tuhan itu sendiri.
Simbol-simbol yang digunakan ialah ‘bulatan’ (seutas tali) melambangkan kesatuan umat paroki, “loop” (simpulan) kecil melambangkan chapel-chapel terkini dan di masa akan datang. Lingkaran juga melambangkan kesatuan dan kesempurnaan, menggambarkan perpaduan umat di bawah gereja St Pius X.
Simbol salib pula melambangkan salib yang terdapat pada hostia. Warna merah pada salib melambangkan darah Kristus yang ditumpahkan bagi keselamatan umat manusia. Keteguhan umat Katolik dalam menghadapi cabaran. Simbol tujuh daun melambangkan tujuh sakramen. Ia juga melambangkan sektor pertanian iaitu ekonomi penduduk tempatan.
Warna hijau melambangkan kesuburan kawasan sekitar paroki dan pertumbuhan iman umat melalui penerimaan Tubuh dan Darah Kristus.Simbol tangan pula melambangkan kekerapan kepada penerimaan komuni kudus dalam kalangan komuniti umat paroki. Warna emas melambangkan keagungan dan kesucian perjamuan suci yang keterbukaan kepada semua golongan manusia. Simbol tongkat gembala melambangkan Santo Pius X adalah seorang Paus.
Sebagai pemimpin gereja, tongkat yang dipegang oleh Bapa Suci menjadi simbol seorang gembala yang memimpin kawanan domba ke rumput yang hijau, selamat dan keteguhannya. Simbol gunung melambangkan Bundu Tuhan terletak di bawah kaki Gunung Kinabalu. Kawasan Bundu Tuhan yang berada di kawasan tanah tinggi.
Gunung juga melambangkan kestabilan kerana ia kukuh dan teguh. Gunung juga menjadi lambang perlindungan seperti dalam Mazmur 125:2, “seperti gunung-gunung mengelilingi Yerusalem, demikianlah Tuhan mengelilingi umatNya dari sekarang dan selamanya”.
Sempena dengan pelancaran logo itu, penjualan baju T dan gelas yang bercetak dengan logo baharu dijual selepas Misa di perkarangan gereja.